Friday, February 26, 2010

Analisis artikel: Paradoks Demokrasi di Thailand



Di kesempatan kali ini, saya berhajat untuk berkongsi maklumat dengan sekalian pengunjung SB berkenaan beberapa kajian yang dilakukan dalam rangka menyediakan beberapa latar belakang berhubung disiplin ilmu Politik Perbandingan. Sekadar analisis ringan daripada seorang faqir yang kerdil penguasaan ilmunya. Segala masukan dan pandangan pembaca amat penulis harapkan demi mengharmonikan nilai kelestarian dan keluasan ilmu.

Artikel yang berjudul “Paradoks Demokrasi di Thailand” ini memaparkan kepada khalayak pembaca mengenai sejarah dan cabaran negara Thailand dalam menghidupkan nilai-nilai demokrasi tulen sepertimana yang telah dicontohkan oleh negara-negara membangun lainnya. Disingkap dari sudut persejarahan, Thailand telah memulakan langkah pertama menuju ke arah pengamalan sistem pemerintahan demokrasi bermula pada tahun 1933 setelah berlangsungnya pilihan raya yang pertama. Walau bagaimanapun, usaha ini sentiasa menemui laluan sukar dan mengalami pasang surut disebabkan kerapnya berlaku rampasan kuasa, rasuah dalam sistem pilihanraya di samping ketidak cekapan akan sesebuah kerajaan yang dipilih. Dengan merujuk kepada beberapa kes sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah memperlihatkan betapa rakyat Thailand mengalami proses yang cukup dramatis dalam memastikan tertegaknya nilai-nilai demokrasi di peringkat sistem dan institusi politiknya. Sebagai perbandingan, penulis telah menyatakan 5 faktor yang telah dijadikan sebagai asas perbincangan untuk para pembaca menilai sejauh manakah pemerintahan secara demokrasi telah terwujud di Negara Gajah Putih ini. Jelasnya, kehadiran faktor- faktor dominan seperti peranan raja, keterlibatan junta tentera yang acap kali melakukan kudeta, ketirisan sistem pilihanraya serta kewujudan parti politik yang bersaing di gelanggang politik telah menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menghidupkan norma demokrasi tulen ini.

Reputasi Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-23 pada peringkat awal amat memberangsangkan. Hal ini terbukti apabila parti pimpinannya, Thai Rak Thai telah mencapai kemenangan majoriti mutlak dalam pilihan raya Januari 2001, suatu pencapaian luar biasa yang belum pernah diperoleh daripada mana-mana parti politik Thailand sebelumnya. Seterusnya, beliau bersama partinya sekali lagi telah memperoleh mandat besar dalam pilihan raya dalam 6 Februari 2005 dan menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand pertama yang berjaya melengkapkan tempoh jawatan selama empat tahun dan yang pertama memperoleh majoriti mutlak. Walau bagaimanapun, kedudukannya mula merudum pada awal tahun 2006 rentetan kegagalan menangani beberapa isu kontroversi antaranya isu diskriminasi terhadap penduduk Muslim selatan Thai, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran, campur tangan terhadap kedudukan penting dalam jabatan tentera dan polis serta tindakannya memberi tekanan kepada pihak pembangkang dan media. Kemuncak penentangan rakyat Thailand terhadap Thaksin adalah pada Februari 2006 di Bangkok apabila demonstrasi besar-besaran telah dilakukan untuk menuntut beliau meletak jawatan. Ironi yang berlaku adalah beliau telah didesak melepaskan jawatan meskipun mendapat mandat yang kukuh sebelumnya dan hal ini membuktikan bahawa suara rakyat begitu berkuasa dalam amalan sistem demokrasi.

Kedudukan raja dalam institusi kenegaraan telah memberi suatu ciri unik terhadap Thailand. Dogma akan kedaulatan raja merupakan elemen terpenting dalam menentukan kestabilan sesebuah pemerintahan di Thailand. Raja Bhumipol Adulyadej, raja yang paling lama menduduki takhta (1946-kini) dan masih hidup ini telah memberi memberi sumbangan yang signifikan terhadap landskap politik Thailand. Penggulingan kerajaan autokratik Thaksin dikatakan telah mendapat restu daripada pihak istana setelah beliau dikatakan membelakangkan nasihat dan pandangan Raja Bhumipol berhubung beberapa perkara. Hal ini turut dibuktikan melalui sokongan secara halus pihak istana apabila membenarkan lilitan reben kuning (warna diraja) di hujung kereta kebal dan laras senjata tentera yang terlibat dan seterusnya membolehkan proses rampasan kuasa tersebut berlaku secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah. Tidak seperti negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan lainnya seperti Malaysia, Jepun dan Britain, campur tangan pihak raja dikatakan tidak begitu signifikan terhadap kes seumpama ini. Walau bagaimanapun, persoalan timbul apabila campur tangan raja sebegini mampu menjejaskan ciri amalan demokrasi yang senantiasa mementingkan keabsahan kuasa sesuatu pemerintahan melalui proses pemberian undi oleh rakyat.

Penglibatan junta tentera Thailand dalam kancah politik negara tersebut turut memberi variasi kepada corak demokrasi sistem politiknya. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 18 kali cubaan rampasan kuasa telah dilancarkan dan hampir kesemuanya berjaya, membuktikan betapa junta tentera telah merencatkan perkembangan demokrasi Thailand. Meskipun pihak tentera Thailand membuat penafian menerusi kenyataan bahawa tindakan mereka menggulingkan sesebuah kerajaan sebaliknya bertujuan untuk memulihkan sistem demokrasi daripada dieksploitasi kepentingan pemerintah, namun ia masih menjadi tanda tanya jika dibuat perbandingan dengan fungsi tentera di Indonesia. Masakan tidak, Tentera Nasional Indonesia hanya pernah sekali melakukan kudeta pada zaman Sukarno oleh Jeneral Suharto. Selain daripada itu, mereka tidak pernah lagi terlibat secara langsung dengan sistem politik Indonesia meski suasana negaranya tidak jauh berbeza dengan Thailand. Harus diingat, setiap rampasan kuasa yang terjadi jelas mencerminkan pelanggaran lunas-lunas demokrasi dalam berpolitik dari aspek perundangan yang memberi peluang setiap rakyat menentukan sebarang dasar dan polisi negara.

Faktor seterusnya adalah ketelusan dan kebebasan sistem pilihan raya Thailand. Suruhanjaya Pilihan Raya merupakan institusi yang dipertanggungjawabkan mengendali dan menguruskan perjalanan pilihan raya. Integriti institusi ini kemudiannya dipertikaikan ketelusannya di akhir zaman pemerintahan Thaksin apabila kelihatan jelas segelintir ahli politik proksi Thaksin di kalangan peniaga dan korporat yang bertanding, telah mencemarkan nilai demokrasi melalui pemberian rasuah dan membeli undi semasa pilihan raya demi kepentingan politik masing-masing. Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya turut semakin terhakis apabila tiga anggotanya disabitkan bersalah oleh mahakamah kerana mengadakan pakatan sulit dengan parti pemerintah bagi memanipulasi pilihan raya terbabit. Selain itu, Parti Demokrat telah mengambil pendirian dengan memulaukan pilihan raya 2006, hal yang jelas melanggar undang-undang dan etika demokrasi, sesuatu yang tidak akan dijumpai di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda. Sistem pilihan raya yang tidak stabil ini amat mempengaruhi perkembangan demokrasi di Thailand.

Selain daripada faktor tersebut di atas, perkembangan akan pembentukan parti politik di Thailand juga amat menarik untuk diperhatikan. Rekod rasmi di pejabat Setiausaha Parlimen Thai mencatatkan terdapat lebih daripada seratus parti politi muncul dan beroperasi hingga ke hari ini. Namun, pakar pengkaji politik mengatakan bahawa parti-parti politik di Thailand kebanyakannya berdepan dilema teori asas pembentukan sebuah parti politik. Penulis merujuk kepada teori Huntington yang mencadangkan bahawa sesebuah parti politik harus melalui empat fasa perkembangan sebelum diserap kepada sistem politik iaitu fahaman berpuak (factionalism), pemencaran (polarization), perluasan (expansion) dan institusionalisasi (institutionalization). Jika teori ini dijadikan asas kepada penilaian di Thailand, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah kesemuanya masih berada di fasa pertama iaitu fasa berpuak. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menjadi fokus utama sebaliknya untuk mencetus kesan dan akibat apabila wujudnya senario lambakan parti politik pra- matang di Thailand. Hal ini semestinya akan menyulitkan lagi proses demokrasi di sebuah negara dunia ketiga seperti Thailand yang masih mencari asas kestabilan ekonomi, politik dan sosialnya. Kekhuatiran ini walau bagaimanapun mungkin tidak terlalu mencemaskan sekiranya ia wujud di negara yang telah stabil kedudukan politiknya seperti United Kingdom dan Kanada.

KESIGNIFIKANAN ARTIKEL

Menerusi penelitian terhadap artikel ini, adalah mustahak untuk kita memahami suasana rencam yang disebutkan di atas merupakan cabaran terbesar rakyat Thailand dalam usaha menyuburkan lagi amalan demokrasi tulen. Hambatan utama yang dikesan adalah bagaimana untuk memberi kefahaman mengenai kesedaran politik bernilai demokrasi yang telah ditempuh negara membangun yang lain. Dalam usaha ke arah mencapai kestabilan tersebut, proses sosialisasi menerusi pembudayaan maklumat serta komunikasi yang holistik dan integral ke segenap lapisan masyarakat dapat menjamin penyebaran idealogi demokrasi secara lebih berkesan.

Kebejatan situasi politik Thailand ini juga sedikit sebanyak menjejaskan usaha untuk menjadikan ia sebagai negara yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Kenyataannya, soal kebajikan rakyat, ikhtiar memajukan ekonomi demi kemakmuran negara, pemulihan kadar inflasi dan indeks pengangguran yang kian meruncing sudah tidak lagi menjadi manifesto utama pemerintah dan rakyat sebaliknya hanya dikusutkan menerusi sentimen politik sempit pemerintah demi mencapai matlamat dan kepentingan peribadi.

Contoh-contoh peristiwa yang telah berlaku di Thailand sewajarnya dijadikan sempadan buat negara yang ingin memerdekakan sistem politiknya mengikut acuan demokrasi berperlembagaan, apatah lagi dalam kondisi dunia masa kini, telah wujud segenap teori dan konsep demokrasi yang tidak seragam. Maka tidak hairan jika sebilangan besar sarjana barat telah mengklasifikasikan Thailand sebagai negara yang memiliki sistem demokrasinya tersendiri atau lebih dikenali “demokrasi ala-Thai” suatu perkara yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Rujukan: Paradoks Demokrasi Di Thailand oleh Ahmad Zaki Hasan ( Pemikir 2007)

Thursday, February 25, 2010

Sayu dalam sendu

Salam

Saudara ku yang dirindui, betapa terkejutnya diri ini setelah mendengar perkhabaran ini. Apatah lagi selepas menatap gambar yang dikongsikan ketika kemalangan ini terjadi.

Moga kalian terus tabah, diberi keampunan, rahmat dan diangkat derjat kemuliaan disisiNya.

Betapa sayunya hati kerna hanya mampu melihat dan tak mampu berbuat apa-apa kala ini.

Hanya doa yang terdaya ku kirim tanda rabitah hati. Air mata sudah kering tak mampu lagi menitis.

Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala hikmah ini..





Saturday, February 13, 2010

Salju di danau rindu

"Sufi, bila nak update blog. Dah lama tak dengar bait puitis hang.."

Tersenyum saya pagi itu.

"Awak buat saya sakit perut menahan gelak. Bagai tak percaya Furqan peminat blog saljibiru.." saya membalas.

Setahu saya beliau adalah individu yang minat membacanya hanya tertumpu pada perkembangan Chelsea seangkatannya. Apa pun saya hargai kesetiaannya terus menerus memotivasi saya menulis.

Dan syukur pada Tuhan memberi ruang untuk mengintai semula kalam yang telah lama ditinggalkan. Entah kenapa tergerak menulis selepas menonton "Ketika Cinta Bertasbih 2".

Sejujurnya sekalung pujian harus diberikan kpd produksi berkenaan yang telah berjaya menerbitkan karya berkualiti. Paling tidak ia memberi penjelasan tentang bagaimana hubungan sesama manusia yang sewajarnya. Ditambah adunan nilai kejiwaan dengan elemen agama digarap begitu sempurna benar-benar menyentuh perasaan saya. Jarang sekali untuk saya memberi pujian terhadap hasil seni tetapi kali ini saya terpaksa mengangkat ibu jari ke atas atas sentuhan imaginasi Kang Habib. Buat yang masih belum menonton saya cadangkan agar dijadikan hiburan ringan di sela kelapangan.

"Ke mana awak pergi selama ni Sufi? dah la blog tak update..sakit betul bila diam begini" Reezal teman dari UUM menghantar sms.

Saya benar-benar mohon kemaafan atas 'kehilangan' ini. Buat yang tak jemu-jemu hadir menjenguk, perhatian kalian saya hargai. Semoga blog ini akan terus menjadi medan bermanfaat bertukar maklumat dan cerita.

Sebetulnya, saya masih sedaya upaya menyesuaikan diri dengan hidup baru. Melanjutkan pengajian di peringkat sarjana sangat mencabar keupayaan pengurusan waktu saya.

Dengan perubahan drastik asas pengajian sebelumnya membuat saya harus memberi 200% perhatian terhadap pembacaan lapangan baru. Diakui, kajian Sains Politik amat luas capaiannya. Tambahan pula, semester ini merupakan sesi percubaan bagi pelajar pra-syarat seperti saya. Jika tidak lulus kelayakan minima bererti tiba utk melupakan hasrat menguasai cabang ini.

"You should be an engineer Sufi. Its so weird when I know about this. Think about your future. Your age is no longer young man. Its time for you to build up your life, marriage and pride of your family.." begitulah coretan Kat dalam emel yang diutusnya dari Brisbane hujung bulan lepas.

Saya sedar ramai yang tertanya. Namun, buat masa ini tiada jawapan mutlak yang dapat disediakan buat semua. Ia sangat berkaitan percaturan masa depan. Mungkin tepat mungkin juga tidak. Segalanya saya serahkan pada istikharah serta fatwa hati.

............

"Bilakah lagi kita semua satu hati..." nada dering telefon bimbit saya berbunyi.

"Sufi, hang kat mana? Berpeluh aku tunggu kat stesen UKM ni. Cpat sket..bawa WQV tau tak sanggup naik moto. Barang banyak ni.." Furqan Al-Chelsea bersuara..

Dan saya pun harus menghentikan coretan setakat di sini dahulu..

Sunday, January 3, 2010

Bingkisan Tahun Baru


3 hari sudah berlalu. Pantas. Cukup pantas..

"Rasanya kita baru je habis SPM kan Sufi.." ujar Idzham

Letih malam tadi masih belum hilang. Tak dapat dibayangkan bagaimana mencabarnya mempengerusikan majlis di khalayak yang besar selama hampir 12 jam.

Salah satu catatan penting dalam kalendar hidup telah disempurnakan. Banyak detik istimewa yang mencuit hati. Paling besar adalah pabila moderatornya sendiri terlelap tanpa sedar dihadapan. Pengalaman yang tak terlupakan.

"Slmt pg tahun baru 2010. Apa azam tahun baru" sms saya terima dari seorang kenalan baru.

Baru saya teringat ia detik terbaik memasang azam. Paling tidak membugar semula senarai perkara yang belum terlaksana tahun lalu.

" Terima kasih ingatan..belum terfikir lagi. Mungkin awak boleh membantu memberi idea" butang send ditekan diatas papan pemuka Nokia E65 pemberian Aiman.

"Saya nk jadi anak yg baik" balasnya.

Sejuk mata menatap bait tersebut. Kenalan ini yang saya kenali amat lembut wataknya. Tak sangka amat merendah. Menjadi tazkirah ringkas tanpa sedar.

Di ruang tamu menikmati angin sepoi memang menyamankan.

Sejenak bersikap jujur menilai setahun usia yang berlalu. 2009 banyak mencatat memori unik dalam ruang hati. Bermula dengan graduasi dari UTP Januari disusuli 'tempoh bertenang' selama 3 bulan di teratak bonda. Terlalu banyak rehat menjadikan diri gelisah dalam aman. Makan, tidur, rehat segalanya cukup. Namun tetap saja mengundang resah.

Keputusan diambil mencari pengalaman di dunia baru di luar. Syukur, niat hati Tuhan dengari. 2 minggu mencuba menghantar resume akhirnya diterima bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) di UKM berkontrak 6 bulan.

Gembiranya hati.

Ramai yang bertanya, mengapa UKM jadi pilihan dalam sekian banyak institusi pengajian yang lain. UM, UIA lebih dekat dengan rumah. UPM terluas, UTem peluangnya cerah.

Sukar hendak melakar jawapan.

Kadang merenung juga semudah ini laluannya di kala ramai yang mencuba. Pesan bonda, bersahaja dalam segala perkara. Yang telah ditetapkan adalah suratan hidup. Pasti ada yang perlu diteliti.

Ada benarnya. Hakikatnya, terlalu banyak hikmah diri diperoleh. Di laluan ini ditemui pelbagai khazanah kehidupan membentuk dimensi baru dalam segmen hidup.
Terlalu banyak yang indah tak kurang bernada duka.

Apa pun fajar tahun baru sudah pun menyinsing.

Masih banyak cabaran yang perlu dihadapi. Dengan izin yang diberiNya, masih tetap mengharap kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Usia sudah tidak lagi muda. Bererti saat yang pasti kian mendekati. Menyesal juga bila detik waktu yang berlalu hanya terisi kosong.

Lawatan ziarah ke Melaka minggu lalu amat menginsafkan. Kerdil sungguh amal diri bila mendengar perkongsian seorang sahabat dari UTM. Konsisten menyelesaikan bacaan kalam 14 juzuk setiap minggu. Allah Kareem. Masakan ada pemuda sepertinya di kala ini. Ma'thurat, dhuha, tahajjud rutin harian. Jarang sekali hari ditinggal tanpa terisi ibadah khusus.

Cemburu. Nyata ada berbuat yang lebih baik. Malu seketika rasanya. Segenap kesenangan diberikan masih tak mampu dibalas syukur. Doa tak putus agar sentiasa dinaungi rahmat Tuhan.

"Fizul, doakan ya segalanya lancar. Banyak azamnya ni. Takut tak terkejar" mohon saya.

"Apa yang diazam" beliau membalas.

"Macam-macam. Blog diupdate sekerapnya, fokus dalam pengajian, anak yang lebih prihatin dengan keluarga dan..."

"Dan apa Sufi?"

"..dimurahkan rezki mengumpul sedikit sumber materi guna menyunting bunga mekar di taman" saya menambah.

"Oh bagusnya. Baik nanti saya doakan" Fizul menutup bicara.

Senyuman kecil saya kuntumkan sebagai hadiah

Monday, December 28, 2009

15 minit yang penuh makna


15 minit lagi munuju maghrib.

Diri tak punya banyak masa namun dipaksa jua menziarahi halaman sendiri setelah sekian hari.

Banyak yang hendak dicoret tetapi peluang tak sentiasa memberi izin.

Kesempatan terhidang membuat saraf otak mengkaji hikmah setiap detik yang berlalu.

Seketika di kaki gunung terus menghala ke Seberang Takir mengundang letih. Minggu seterusnya menghabiskan sisa memori bersama anak murid ditutupi Smart Education Induction Camp. Sengal pastinya namun kepuasan dicapai.

"..that what we call life. Full of colours. Sometimes you on the top, sometime you'll be at the bottom. Sacrifice will cure it.."

Mukadimah ringkas Dr Rashila membuat aku terpana. Bibirnya mencorak kata sihir yang sempurna menterjemah hati. Kecil molek orangnya. Tapi seluruh pelosok dunia sudah ditakluknya. Seakan membaca gelodak jiwa yang sering berkocak dek ribut kejahilan dan kealpaan.

Setuju benar pernyataannya.

Kadang sering benar soalan terpacul tidak berjawab. Kita mahukan yang itu, dapatnya yang ini. Rencana dirancang kerapnya berbeza. Jika selari nada kemahuan, bertuahlah kita. Namun andai bertentang langsung kehendak, moga Tuhan berikan kekuatan.

"Bang Sufi, apa pendapat abang kalau saya mohon melanjutkan pelajaran di luar negara. Boleh teruskan aktiviti di sana.." Amsyar mendekati meminta pencerahan.

Soalan sepertinya terlalu amat kerap diterima. Jika dahulu pastilah satu jawapan sahaja yang mampu dibalas namun kini harus difikir alternatif responnya.

Pengalaman mendewasakan. Masa membuka darjah keterbukaan akal menimbang.

Dari hal memilih sekolah beraliran sains atau agama, jurusan apa yang perlu dikuasai di universiti, kerjaya mana yang paling sesuai dengan diri, wanita mana harus mengisi suri hati, anak berapa pasukan bola hendak dihasilkan hinggalah kuburan mana akan diri dikafankan. Segalanya melibatkan RUANG dan PELUANG.

"I'm single but available.." Kojie tersenyum sinis memaklumi teman serumahnya berstatus sama semuanya.

Membenarkan lamunan tadi berfakta sahih paling tidak buat seketika.

Apa pun, yang pasti detik waktu kan tetap berlalu tidak kembali. Biarlah di bumi mana kita berpijak, di bawah langit mana kita berpayung, moga segalanya terhitung ibadah.

Mungkin yang diidam tak hadir langsung. Tapi petua bonda sering mengingatkan. Jika hendak menanam syukur, lihatlah yang lebih kurang darimu. Bagi yang beringat pasti tak lupa membawa bekal ke destinasi akhir.

Dan azan pun berkumandang..

Monday, December 21, 2009

Kegembiraan dalam kesamaran



"Pengaruh Petronas pikat Iraq"

Sedutan akhbar yang saya tatap hujung minggu lalu di Gem Beach Resort membuat saya gamam. Kornea mata statik bagai lumpuh disihir manderam akhbar Berita Harian tengahari Jumaat itu mengundang enzim emilase ditelan paksa.

Bangga

Analisis sepanjang satu muka surat salah satu tabloid arus perdana tersebut benar membanggakan. Besar jiwa saya ketika itu persis Dalai Lama yang setia membela rakyat Nepal, Hasan Al-Banna mengharuskan semangat nasionalisme pada asas yang benar, Aristotle membebaskan nilai akal yang sekian lama bertakhta di persada istana Rom menentang Zeus, Al-Ghazali membawa nilai falsafah baru melalui aliran Tauhid Tiga Serangkai.

Frasa 'Petronas' amat signifikan dalam persejarahan diri penulis. Meski, sekadar pelajar tajaan pada suatu ketika namun segala aspirasi dan prestijnya sekian lama tertancap di sanubari.

PRESTIJ

Cangkir kopi radix yang dihirup sedari tadi saya letakkan di atas alas porselin putih meneruskan bacaan. Satu demi satu fakta diteliti.

"Dengan jangkaan pengeluaran minyak akan meningkat kepada 4.7 juta tong sehari dalam beberapa tahun akan datang berbanding kadar 1.5 juta tong sehari ketika ini, maka kepercayaan diberikan Iraq terhadap syarikat minyak dari Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), amat dihargai. "

Petikan tersebut merangsang minat saya untuk mempercayai bahawa "ini betul-betul kejadian, bukan cubaan."

Memang kita harus mempersetujui bahawa Iraq amat terdesak dalam membina semula struktur ekonomi pasca pencerobohan tentera Amerika pada tahun 2003. Akur dengan keupayaan teknologi yang amat ketinggalan akibat ketagihan candu peperangan ciptaan Saddam Hussein telah memaksa menteri luar negerinya membuka tender bagi penerokaan beberapa telaga minyak baru di beberapa lokasi utara dan selatan negara tersebut kepada syarikat gergasi minyak dunia.

TAKJUB

Kapasiti emas hitam di negara tersebut merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas Saudi dan Iran. Menakjubkan, dalam banyak-banyak telaga yang disasarkan Petronas telah memenangi 2 bidaan terbesar. Lokasinya di Majnoon dan Halfaya. Sukar dimengerti dari mana datangnya magis ini.

Untuk lebih menambah ghairah, Majnoon diibaratkan pesisiran pantai Kerteh Terengganu manakala Halfaya adalah Miri. Lebih realistik, gunakan kanta pembesar untuk melihatnya di atas peta dua lokasi tersebut. Begitulah gandaan keluasan telaga minyak yang kita perolehi menerusi bidaan kali kedua

Di Majnoon, Petronas bergandingan dengan Shell manakala Halfaya telah membentuk konsortium gabungan 3 syarikat - Petronas, China National Petroleum Company (CNPC) dan Total, firma minyak prima dari Perancis. Ternyata pengaruh syarikat minyak Malaysia berjaya 'menewaskan' syarikat asing termasuk yang terkemuka dari negara kuasa besar ekonomi dunia. Ini menunjukkan betapa sebuah syarikat minyak milik Kerajaan Malaysia dan hampir keseluruhan pengurusan serta tenaga kerjanya daripada kalangan umat Melayu dan Islam, bukan saja mampu mengatur survivalnya dalam ruang geografi Malaysia, malah tanpa sedar diantarabangsakan.

..................................

Saya menyelasaikan bacaan dengan penuh tanda tanya di benak kepala.

Apa benar segala catatan yang dikarang penganalisis tersebut bakal diterjemahkan ke alam realiti. Inilah salah satu perangai saya yang kurang elok, sukar amat meletak kepercayaan kepada sesuatu yang belum terjadi.

Barang perlu diingat, Amerika Syarikat tak kan pernah selesa dengan perkembangan ini. Ataukah mereka lebih jauhari dalam menghidu situasi semasa di negara tamadun Mesopotamia itu.

Sebarang perjanjian kerjasama serta persetujuan konsesi penerokaan telaga minyak hanya akan diluluskan selepas parlimen Iraq bersidang Mac ini. Ini bermakna, kebarangkalian untuk berlaku pindaan pastilah amat luas ruangnya. Kajian jelas menjelaskan kepada kita kerajaan pimpinan Nuri Al-Maliki ini memiliki hubungan yang signifikan dengan Washington dan tanpa pertalian sakra ini pastilah kabinet tersebut tidak wujud.

"Sufi, kau ni duk tepi pantai pun nak membaca.. jom jalan main air" sergah teman saya yang memerhati sekian lama.

Fokus saya mati di situ.

Jauh di sudut hati agar perasaan awal saya tadi tidak sekadar kebanggaan kontemporari sifatnya. Mungkin berita yang dibaca bakal menjadi realiti, mungkin juga tidak. Dalam pada itu, pujian harus diberikan kepada Tan Sri Hasan Merican selaku CEO Petronas yang amat cemerlang dalam mengangkat kegemilangan negara ke persada dunia.

Destinasi selepasnya pada hari itu menikmati bayu laut di pinggiran Tanjung Gelam.

p/s: Khabarnya Petronas akan memanggil semula graduan dibawah tajaannya untuk diserap ke beberapa sektor berkaitan sejajar perkembangan berita ini. Maka, rakan-rakan yang masih belum dipanggil, nantikan giliran anda.

Friday, December 18, 2009

Ekspidisi Gunung Batu Putih (part 2)

"Kita meshti shehati jiwa. Kalau sheshiapa yang rasha penat, berenti shama-shama. Makan shama-shama. Gerak pun shama-shama." Bah Langgar menyampaikan 'tazkirahnya'.

Sulit untuk kami memahami butir bicaranya di peringkat awal. Namun setelah beberapa ketika, akhirnya kami sudah dapat membiasakan diri dengan Bah Langgar serta Bah Chon, adiknya. Ketua kampung orang asli ini diperkenalkan kepada kami oleh Encik Helmi pegawai pejabat hutan Kuala Woh.

"Bang Sufi, ingat tau orang kita, bukan Orang Asli." Aiman mengingatkan.

"Yew lew, remind others k.."

Kehadiran kami ke ampangan orang kita ini menambah lagi koleksi pengalaman yang amat berharga. Tak putus-putus kagumnya kami dengan segenap aktiviti dan budaya di ceruk kampung Bah Langgar serta masyarakatnya.

Mereka menjalankan aktiviti persis masyarakat bandar meski skalanya masih agak kerdil. Kelihatan di tempat letak kereta kami berlakunya aktiviti transaksi perdagangan kecil. Kedapatan beberapa orang kita mengumpul beberapa longgok petai. Tak dapat saya jangkakan berapa banyak, tapi jika ditimbang rasanya berjulat tak kurang 300kg.

"Tapi diorang ni boros bang.." sapa Ali, pekerja kontrak diampangan memanggil semula subconcious mind saya yang sedari tadi sudah diterbangkat kerabat Bah Langgar.

Mungkin benar dakwaannya. Sejak jam 4 petang tadi, ramai orang kita yang berlegar-legar di sekitar parkir kecil tersebut menanti kehadiran van peniaga jalanan yang saban hari hadir berniaga disitu.

"Ye kot. Tengoklah, dari atuknya, nenek hingga ke cucu.. masing-masing pegang duit" saya bersetuju. Yang dewasa warna kertasnya merah, yang kecil notnya biru.


........................

Bunyi unggas di tengah rimba amat mengasyikkan. Seakan terhasil melodi indah dari sahutan yang beritma di tengah Dewan Filharmonik Orkestra semulajadi ini. Gas oksigen yang dibebaskan pokok-pokok sekitar saya sedut sedalamnya membuatkan ventrikel kiri membekalkan isipadu gas terlarut yang diterima menerusi vena kava jantung, beraksi lebih tinggi dari kadar biasa.

Mengalah dengan seruan alam, saya letak ke tepi buku yang saya sedang berusaha menyelesaikan pembacaannya sejak sebulan lalu, Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam terbitan PTS belian dari Gramedia Bookstore.

Peluang sebegini kebarangkaliannya pastilah hadirnya hanya dapat dibilang jari.

Setelah meyakini situasi sekitar telah selamat, pintu Estima 2.5V milik pasangan kembar Aiman & Danial saya buka perlahan. Kaki dihulur keluar berhati-hati mengelak terhasil sebarang bunyi.

Namun disangka cerah sampai ke petang rupanya mendung di tengah hari. Perkara yang paling saya khuatiri bakal terjadi. Kembaran anjing milik orang kita datang menghampiri sambil memerhati. Salah saya juga memakai baju merah menyala di saat begini.

Renungan kembaran mamalia ini tajam sekali mengancam agar degup jantung saya berhenti.

Mata kami bertentang. Saya beranikan jua berdiri tegak meski kaki sudah mula siap memecah rekod Usain Bolt di tengah belantara. Tanpa saya sedari, banyak mata penduduk kampung sudah terpaku ke arah kami dan ini menjadikan pilihan yang saya ada hanya satu- bereaksi selamba! Seolah berdepan dengan hanya arca anjing ukiran Leornado Da Vinci.

Langkah disusun dan daya pun terhimpun.

"Worfghh..!!" arca itu berbunyi...


(bersambung dicatatan terakhir)