Monday, December 28, 2009

15 minit yang penuh makna


15 minit lagi munuju maghrib.

Diri tak punya banyak masa namun dipaksa jua menziarahi halaman sendiri setelah sekian hari.

Banyak yang hendak dicoret tetapi peluang tak sentiasa memberi izin.

Kesempatan terhidang membuat saraf otak mengkaji hikmah setiap detik yang berlalu.

Seketika di kaki gunung terus menghala ke Seberang Takir mengundang letih. Minggu seterusnya menghabiskan sisa memori bersama anak murid ditutupi Smart Education Induction Camp. Sengal pastinya namun kepuasan dicapai.

"..that what we call life. Full of colours. Sometimes you on the top, sometime you'll be at the bottom. Sacrifice will cure it.."

Mukadimah ringkas Dr Rashila membuat aku terpana. Bibirnya mencorak kata sihir yang sempurna menterjemah hati. Kecil molek orangnya. Tapi seluruh pelosok dunia sudah ditakluknya. Seakan membaca gelodak jiwa yang sering berkocak dek ribut kejahilan dan kealpaan.

Setuju benar pernyataannya.

Kadang sering benar soalan terpacul tidak berjawab. Kita mahukan yang itu, dapatnya yang ini. Rencana dirancang kerapnya berbeza. Jika selari nada kemahuan, bertuahlah kita. Namun andai bertentang langsung kehendak, moga Tuhan berikan kekuatan.

"Bang Sufi, apa pendapat abang kalau saya mohon melanjutkan pelajaran di luar negara. Boleh teruskan aktiviti di sana.." Amsyar mendekati meminta pencerahan.

Soalan sepertinya terlalu amat kerap diterima. Jika dahulu pastilah satu jawapan sahaja yang mampu dibalas namun kini harus difikir alternatif responnya.

Pengalaman mendewasakan. Masa membuka darjah keterbukaan akal menimbang.

Dari hal memilih sekolah beraliran sains atau agama, jurusan apa yang perlu dikuasai di universiti, kerjaya mana yang paling sesuai dengan diri, wanita mana harus mengisi suri hati, anak berapa pasukan bola hendak dihasilkan hinggalah kuburan mana akan diri dikafankan. Segalanya melibatkan RUANG dan PELUANG.

"I'm single but available.." Kojie tersenyum sinis memaklumi teman serumahnya berstatus sama semuanya.

Membenarkan lamunan tadi berfakta sahih paling tidak buat seketika.

Apa pun, yang pasti detik waktu kan tetap berlalu tidak kembali. Biarlah di bumi mana kita berpijak, di bawah langit mana kita berpayung, moga segalanya terhitung ibadah.

Mungkin yang diidam tak hadir langsung. Tapi petua bonda sering mengingatkan. Jika hendak menanam syukur, lihatlah yang lebih kurang darimu. Bagi yang beringat pasti tak lupa membawa bekal ke destinasi akhir.

Dan azan pun berkumandang..

Monday, December 21, 2009

Kegembiraan dalam kesamaran



"Pengaruh Petronas pikat Iraq"

Sedutan akhbar yang saya tatap hujung minggu lalu di Gem Beach Resort membuat saya gamam. Kornea mata statik bagai lumpuh disihir manderam akhbar Berita Harian tengahari Jumaat itu mengundang enzim emilase ditelan paksa.

Bangga

Analisis sepanjang satu muka surat salah satu tabloid arus perdana tersebut benar membanggakan. Besar jiwa saya ketika itu persis Dalai Lama yang setia membela rakyat Nepal, Hasan Al-Banna mengharuskan semangat nasionalisme pada asas yang benar, Aristotle membebaskan nilai akal yang sekian lama bertakhta di persada istana Rom menentang Zeus, Al-Ghazali membawa nilai falsafah baru melalui aliran Tauhid Tiga Serangkai.

Frasa 'Petronas' amat signifikan dalam persejarahan diri penulis. Meski, sekadar pelajar tajaan pada suatu ketika namun segala aspirasi dan prestijnya sekian lama tertancap di sanubari.

PRESTIJ

Cangkir kopi radix yang dihirup sedari tadi saya letakkan di atas alas porselin putih meneruskan bacaan. Satu demi satu fakta diteliti.

"Dengan jangkaan pengeluaran minyak akan meningkat kepada 4.7 juta tong sehari dalam beberapa tahun akan datang berbanding kadar 1.5 juta tong sehari ketika ini, maka kepercayaan diberikan Iraq terhadap syarikat minyak dari Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), amat dihargai. "

Petikan tersebut merangsang minat saya untuk mempercayai bahawa "ini betul-betul kejadian, bukan cubaan."

Memang kita harus mempersetujui bahawa Iraq amat terdesak dalam membina semula struktur ekonomi pasca pencerobohan tentera Amerika pada tahun 2003. Akur dengan keupayaan teknologi yang amat ketinggalan akibat ketagihan candu peperangan ciptaan Saddam Hussein telah memaksa menteri luar negerinya membuka tender bagi penerokaan beberapa telaga minyak baru di beberapa lokasi utara dan selatan negara tersebut kepada syarikat gergasi minyak dunia.

TAKJUB

Kapasiti emas hitam di negara tersebut merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas Saudi dan Iran. Menakjubkan, dalam banyak-banyak telaga yang disasarkan Petronas telah memenangi 2 bidaan terbesar. Lokasinya di Majnoon dan Halfaya. Sukar dimengerti dari mana datangnya magis ini.

Untuk lebih menambah ghairah, Majnoon diibaratkan pesisiran pantai Kerteh Terengganu manakala Halfaya adalah Miri. Lebih realistik, gunakan kanta pembesar untuk melihatnya di atas peta dua lokasi tersebut. Begitulah gandaan keluasan telaga minyak yang kita perolehi menerusi bidaan kali kedua

Di Majnoon, Petronas bergandingan dengan Shell manakala Halfaya telah membentuk konsortium gabungan 3 syarikat - Petronas, China National Petroleum Company (CNPC) dan Total, firma minyak prima dari Perancis. Ternyata pengaruh syarikat minyak Malaysia berjaya 'menewaskan' syarikat asing termasuk yang terkemuka dari negara kuasa besar ekonomi dunia. Ini menunjukkan betapa sebuah syarikat minyak milik Kerajaan Malaysia dan hampir keseluruhan pengurusan serta tenaga kerjanya daripada kalangan umat Melayu dan Islam, bukan saja mampu mengatur survivalnya dalam ruang geografi Malaysia, malah tanpa sedar diantarabangsakan.

..................................

Saya menyelasaikan bacaan dengan penuh tanda tanya di benak kepala.

Apa benar segala catatan yang dikarang penganalisis tersebut bakal diterjemahkan ke alam realiti. Inilah salah satu perangai saya yang kurang elok, sukar amat meletak kepercayaan kepada sesuatu yang belum terjadi.

Barang perlu diingat, Amerika Syarikat tak kan pernah selesa dengan perkembangan ini. Ataukah mereka lebih jauhari dalam menghidu situasi semasa di negara tamadun Mesopotamia itu.

Sebarang perjanjian kerjasama serta persetujuan konsesi penerokaan telaga minyak hanya akan diluluskan selepas parlimen Iraq bersidang Mac ini. Ini bermakna, kebarangkalian untuk berlaku pindaan pastilah amat luas ruangnya. Kajian jelas menjelaskan kepada kita kerajaan pimpinan Nuri Al-Maliki ini memiliki hubungan yang signifikan dengan Washington dan tanpa pertalian sakra ini pastilah kabinet tersebut tidak wujud.

"Sufi, kau ni duk tepi pantai pun nak membaca.. jom jalan main air" sergah teman saya yang memerhati sekian lama.

Fokus saya mati di situ.

Jauh di sudut hati agar perasaan awal saya tadi tidak sekadar kebanggaan kontemporari sifatnya. Mungkin berita yang dibaca bakal menjadi realiti, mungkin juga tidak. Dalam pada itu, pujian harus diberikan kepada Tan Sri Hasan Merican selaku CEO Petronas yang amat cemerlang dalam mengangkat kegemilangan negara ke persada dunia.

Destinasi selepasnya pada hari itu menikmati bayu laut di pinggiran Tanjung Gelam.

p/s: Khabarnya Petronas akan memanggil semula graduan dibawah tajaannya untuk diserap ke beberapa sektor berkaitan sejajar perkembangan berita ini. Maka, rakan-rakan yang masih belum dipanggil, nantikan giliran anda.

Friday, December 18, 2009

Ekspidisi Gunung Batu Putih (part 2)

"Kita meshti shehati jiwa. Kalau sheshiapa yang rasha penat, berenti shama-shama. Makan shama-shama. Gerak pun shama-shama." Bah Langgar menyampaikan 'tazkirahnya'.

Sulit untuk kami memahami butir bicaranya di peringkat awal. Namun setelah beberapa ketika, akhirnya kami sudah dapat membiasakan diri dengan Bah Langgar serta Bah Chon, adiknya. Ketua kampung orang asli ini diperkenalkan kepada kami oleh Encik Helmi pegawai pejabat hutan Kuala Woh.

"Bang Sufi, ingat tau orang kita, bukan Orang Asli." Aiman mengingatkan.

"Yew lew, remind others k.."

Kehadiran kami ke ampangan orang kita ini menambah lagi koleksi pengalaman yang amat berharga. Tak putus-putus kagumnya kami dengan segenap aktiviti dan budaya di ceruk kampung Bah Langgar serta masyarakatnya.

Mereka menjalankan aktiviti persis masyarakat bandar meski skalanya masih agak kerdil. Kelihatan di tempat letak kereta kami berlakunya aktiviti transaksi perdagangan kecil. Kedapatan beberapa orang kita mengumpul beberapa longgok petai. Tak dapat saya jangkakan berapa banyak, tapi jika ditimbang rasanya berjulat tak kurang 300kg.

"Tapi diorang ni boros bang.." sapa Ali, pekerja kontrak diampangan memanggil semula subconcious mind saya yang sedari tadi sudah diterbangkat kerabat Bah Langgar.

Mungkin benar dakwaannya. Sejak jam 4 petang tadi, ramai orang kita yang berlegar-legar di sekitar parkir kecil tersebut menanti kehadiran van peniaga jalanan yang saban hari hadir berniaga disitu.

"Ye kot. Tengoklah, dari atuknya, nenek hingga ke cucu.. masing-masing pegang duit" saya bersetuju. Yang dewasa warna kertasnya merah, yang kecil notnya biru.


........................

Bunyi unggas di tengah rimba amat mengasyikkan. Seakan terhasil melodi indah dari sahutan yang beritma di tengah Dewan Filharmonik Orkestra semulajadi ini. Gas oksigen yang dibebaskan pokok-pokok sekitar saya sedut sedalamnya membuatkan ventrikel kiri membekalkan isipadu gas terlarut yang diterima menerusi vena kava jantung, beraksi lebih tinggi dari kadar biasa.

Mengalah dengan seruan alam, saya letak ke tepi buku yang saya sedang berusaha menyelesaikan pembacaannya sejak sebulan lalu, Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam terbitan PTS belian dari Gramedia Bookstore.

Peluang sebegini kebarangkaliannya pastilah hadirnya hanya dapat dibilang jari.

Setelah meyakini situasi sekitar telah selamat, pintu Estima 2.5V milik pasangan kembar Aiman & Danial saya buka perlahan. Kaki dihulur keluar berhati-hati mengelak terhasil sebarang bunyi.

Namun disangka cerah sampai ke petang rupanya mendung di tengah hari. Perkara yang paling saya khuatiri bakal terjadi. Kembaran anjing milik orang kita datang menghampiri sambil memerhati. Salah saya juga memakai baju merah menyala di saat begini.

Renungan kembaran mamalia ini tajam sekali mengancam agar degup jantung saya berhenti.

Mata kami bertentang. Saya beranikan jua berdiri tegak meski kaki sudah mula siap memecah rekod Usain Bolt di tengah belantara. Tanpa saya sedari, banyak mata penduduk kampung sudah terpaku ke arah kami dan ini menjadikan pilihan yang saya ada hanya satu- bereaksi selamba! Seolah berdepan dengan hanya arca anjing ukiran Leornado Da Vinci.

Langkah disusun dan daya pun terhimpun.

"Worfghh..!!" arca itu berbunyi...


(bersambung dicatatan terakhir)

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H



Semoga tahun baru yang mendatang merupakan tahun yang progresif bagi semua. Mengadiluhung setiap potensi terpendam dengan meletakkan sentral kekuatan di landasan yang tepat.

Hindari sebarang bentuk kebarangkalian yang mampu melemahkan serta menggugah kemuliaan diri dengan perisai kejiwaan. Manifestasi kecemerlangan bisa dijelmakan hanya dengan kepercayaan diri penuh optimis.

Kepada semua pengunjung blog Salji Biru, penulis ingin merakamkan ucapan

"Selamat Menyambut awal Muharam 1431H"


..............................

Be a candle. Be a light. Be a twinkle in the dark. Be an inspiration & make a big difference in other’s heart!

Wednesday, December 16, 2009

Turki: Antara Pragmatik dan Prinsip



"Prof, saya ingin bertanya tentang pendekatan politik pragmatik yang digunapakai sesetengah gerakan Islam di pentas politik mutakhir seperti AKP. Ia seakan menjadi trend popular yang diikuti sesetengah antara pemimpin dan gerakan Islam tempat lain.." Sahrul memecahkan kesunyian sesi soal jawab seminar yang saya hadiri minggu lepas.

Usahawan muda bertubuh sasa ini amat pintar. Dari butir bicaranya lahir hujah yang bernas mengkagumkan pendengar sekitar. Yakin persoalannya muncul rentetan perbincangan kami seputar perkembangan gerakan Islam Timur Tengah dinihari malam tadi.

............

Seperti kebiasaan, diskusi kami malam itu terisi dengan kajian bahan mengenai topik dan modul yang telah dipersetujui bersama sebelumnya. Bertemakan sejarah dan gerakan dakwah Asia Barat, kali ini giliran saya pula diberi tugas memjalankan kajian, dan saya telah memilih Turki sebagai subjek.

Soalnya, mengapa harus Turki?

Ya, sejarah negara 2 wajah ini amat unik untuk disoroti dan dikaji. Kebetulan ia adalah subjek cadangan yang saya minati sebagai bahan disertasi suatu ketika dulu (mungkin tergendala sementara menanti peluang berbuat demikian hadir kembali).

Dengan mengecilkan skop perbahasan kepada nuansa politik mutakhir, nyata ia amat mengujakan kami. Tidak dapat dibayangkan bagaimana suatu ketika aliran "Kemalisme" begitu mendekam segenap sisi kehidupan di Turki, telah beransur hilang pasca era kebangkitan Islam yang masih tidak dipastikan dari mana datang sumber sinerginya.

Untuk lebih berhati-hati dengan fakta, saya kemukakan beberapa pandangan yang disokong oleh beberapa rujukan media, jurnal serta buku karangan Hakan Yavus, penganalisis berbangsa Turki yang juga merupakan kenalan rapat John Louis Esposito, pakar bidang perbandingan agama daripada Georgetown University,AS.

"Era Renaisanse Turki bermula sekitar tahun 1970-an bilamana gerakan Islam di sana sudah mula menghadirkan gelombang kesedaran di kalangan rakyatnya" ujar saya membuka hujah.



"Necmettin Erbakan amat membanggakan.." Sharil menyahut. Bagai berkepak seketika Pembantu Penyelidik lulusan USM ini. Memaklumi bahawa latar belakang pendidikan tokoh berhati waja tersebut bersamaan dengan sijil sarjana muda miliknya, Kejuruteraan Mekanikal. Menyedari tindakannya luar kawalnya diperhati, segera Sharil mendarat semula selepas 'terbang' diatas awanan karpet. Tersenyum kami melihat gelagatnya yang jarang amat bereaksi begitu.

"Benar beliau memang hebat. Bahkan dengan keberaniannya itulah, semua gambar milik Attaturk dilempar keluar dari bangunan kerajaan, mahkamah, kompleks membeli belah serta papan pemuka iklan di bandar besar. Baginya keberhalaan begitu harus dihapuskan daripada dibudayakan kepada generasi baru" Nu'man menambah.

"Tetapi harus diingat beliau telah memilih pendekatan yang amat frontal dengan pihak tentera sekular, the calamity wall yang selamanya menghambat proses Islamisasi di Turki" saya menambah.

Sejarah telah menyaksikan betapa Erbakan telah diberi 2 pilihan dalam suatu peristiwa kudeta, samada meletak jawatan secara terhormat atau dilakukan rampasan kuasa oleh pihak tentera.

"Dahsat gak ye suasana di Turki. Tak sangka sukar sungguh Islam nak berkembang meski kuasa sudah ditangan selepas proses pemilu dijalankan secara demokratik" ujar Kojie, diikuti dengan menguap. Matanya kemerahan memberi signal sudah tiba masanya saya membuat rumusan.

"Namun senario politik ini berubah 180' pasca kemenangan AKP dlm pemilu 2003. Pendekatan pragmatik oleh Erdogan ini dilihat berjaya mengaburi banyak pihak khususnya ketika mana merangka dasar luar Turki dalam usaha Ankara menyelitkan nama mereka dalam senarai EU" saya memancing segelintir rakan yang sudah mengikut jejak Kojie melakukan senaman mulut tadi.

"Ait, camana leh jadi cam tu plak?" mata yang tadinya sudah hampir tertutup dek beratnya zat besi yang berkumpul di pelipis bundar kembali. Kail saya mengena.

"Dipasangnya kembali seluruh gambar dan potret Pak Kamal td ditempat asalnya, bahkan lebih besar dari yang pihak sekular pernah sediakan. Tak cukup sekedar itu, dibatalkan kebenaran latihan ketenteraan Israel yang telah dipersetujui sebelumnya hanya kerana memenuhi tuntutan populis rakyat marhaen yang menganggap Yahudi Israel telah menjadi punca krisis kemanusiaan di Ghazzah." saya meneruskan.

Nu'man mengangguk. Rasanya ia bukan tanda setuju, kerna selepasnya disusuli bunyi dengkuran.

Sifirnya mudah. Refah pimpinan Erbakan bertindak secara frontal, sementelah AKP lebih populis. Disini letaknya keupayaan pembacaan medan. Kehadiran pihak tentera dan enakmen perlembagaan telah menjadikan unsur sekular ini kebal dari diserang dan ia memerlukan penelitian mikro dalam meletakkan asas tindakan. Bagi seorang pemimpin, kriteria ini harus ada. Kebijakan menghidu ancaman sekitar akan mengurangkan ancaman secara eksplisit. (3:52)


"Usah hairan dengan kebangkitan Islam disana kerana hakikatnya, gerakan bawah tanah pejuang berhaluan tariqat pimpinan Bediuzzaman Said Nursi hidup dimana-mana. Mungkin pihak tentera telah terlepas pandang kehadiran Insititusi Imam Hatip yang dibiar berleluasa tanpa kawalan menyebabkan ruh perjuangan ini dapat disusun secara lebih strategik." Sahrul menyudahkan diskusi.

Apa pun satu persoalan timbul di benak kepala saya usai pembentangan.

Menurut muluk-muluk berita yang dikhabarkan bersumber seorang aktivis dakwah tanah air, bahawa terdapat beberapa kegusaran oleh gerakan Islam lain terhadap pragmatiknya AKP dalam memenangi undi rakyat sehingga pernah ditegur oleh Ikhwanul Muslimin. Benarkah terdapat sendi asas perjuangan gerakan Islam yang telah diabaikan oleh pihak Erdogan dan parti pimpinannya. Jika ia benar, maka rumus yang saya andaikan selama ini memerlukan suatu pengitlakan baru yang lebih substantif dalam memahami kerangka asas hukum fikih, mengambil mudharat kecil demi menghindar mudharat yang lebih besar..

Pencerahan dari pembaca amat dialu-alukan..

Ekspedisi Gunung Batu Putih (part 1)

Panorama tempat ini masih tidak berubah. Hutan malar hijau terus membenarkan oksigen berpadu lebih aktif membentuk sel oksihemoglobin di dalam tubuh kami. Terasa nyaman dibalut kedinginan kaki gunung. Tempat ini sudah lama ditinggalkan namun masih kekal sempurna keadaannya seperti 4 tahun lalu saya ke sini.

"Harapnya kita semua dapat mengambil perhatian terhadap perkara yang disebut tadi..", Aiman menutup mukaddimah taklimatnya.

Kagum seketika melihat mahasiswa biokimia tahun pertama ini. Kesungguhan menjalankan tanggungjawab selaku ketua ekspedisi menawan Gunung Batu Putih, gunung ke lapan tertinggi di Malaysia memaksa saya memberi tabik 'spring' pada beliau.

"Bang Sufi, kami terkilan kerana abang tak dapat bersama kami" sebak lisannya diiringi genang air di tubir mata.

"Tenang man, meski jasad tak bersama namun hati abang kalian bawa" balas saya menutup durja.

"Tapi tetap tak sama kan. Kita dah rancang lama bersama. Tiba ini jadinya.." curhat hatinya sudah tak keruan.

"Jangan begitu, cabaran di hadapan yang perlu kita fokuskan. Ingat, penghayatan maknawiyah lebih utama ketimbang fizikal semata." cubaan mengelak menjadi mematikan bicara kami.

Beliau akur, sambil bahunya saya tepuk menandakan ekspedisi akan bermula seketika nanti. Beg digalas dan perkakas dikemas. Seorang demi seorang peserta menuruni ampangan melalui denai dipinggir teratak usang perkampungan orang asli Kuala Woh. Makin mengecil dan akhirnya langsung hilang di pandangan mata.

Sebak seketika bila kehilangan peluang bersama sahabat menawan puncak gunung yang beraltitud lebih kurang 7000 kaki dari aras laut ini. Namun saya cuba memujuk diri bahawa inilah yang terbaik qadarnya buat saya. Ligamen tidak stabil, membuat saya akur bahawa aktiviti lasak sebegini hanya mampu jadi coretan kenangan di atas kertas. Mujur kenangan lalu ketika dipuncak yang sama menjadi peneman sementelah menanti kepulangan mereka.

Ada kisah lucu yang ingin dikongsikan di entri akan datang. Saat bersama orang kita .

p/s: Selamat pengantin baru kepada pasangan Syed Mohamad Aizudin dan Nafisah Abdul Latif. Semoga mahligai yang dibina penuh kerukunan dan berkah hingga ke anak cucu.

Saturday, December 12, 2009

Mas Kahwin RM300

Marriage....

It was a simple marriage but it brought tears to my eyes. The moment it started i realize my time will come. one day, i am one. the person that will hold all the responsibilities to me, myself, and most of all someone else in my life.

i've just attended my closest friend marriage and it occured to me marriage has become the most complicated thing. it has been decided that dowry for "selangorian" has increases from RM80 to RM 300. Nevertheless, there's always a way to get through the problem (as if it's a problem). one simple example, as i just said, i've just attended a marriage of a friend and guess what, they actually shared their money to pay the dowry. awesome right!!!

as it for me, i'm totally ready but a lot of things come through my way. what is it actually it takes just to get married??? family, money, you yourself, the person that will becomes your partner in crime for the rest of your life or... i have no idea. all of these are actually a simple matter that can be solved in a blink of an eye. so, it depends.

we were all brought up with different environments that turn out to be things that contributed to the person that you're becoming today. additionally, it pretty much convey the way your parents parenting skill. so, for me, i'm totally understand why my parents won't allowed to be married. (something that i won't shared with others, maybe sometimes).

it comes across my mind every single time i attend a marriage. how does it really feel to be alone just when you need someone to share your problems, to rejoice your happiness, to be apart of someone else life and so much more!!!!.

so, gird your loin everyone, the time will come!!!!!

p/s: Sufi, when is your reception?? hm.. still no answer for this question

Sunday, October 18, 2009

Nokhtah Pilu


Petang yang damai. Mentari merah di ufuk timur seakan memanggilku kembali ke ambal ini. Memungkinkan sebuah coretan akhir untuk skrip karma bergenre sendu. Maka biarlah ia penuh simfoni kejujuran penuh pengiktibaran.

Bagaimanakan ku mula dan apakah kata-kata yang harus kuabadikan. Tiap madah bererti dan tiap detik berkisah penuh Qada' Qadar yang harus diimani. Meski terlalu gelap mendung berarak hingga menimbulkan kegusaranku akan ramal bencana, namun kuakur andai ia yg terbaik buat tanah yang sekian lama tandus dan gersang. Ia perlu dibasahi jua dengan titis-titis kecil sang hujan penuh budiman. Sayang bagi mereka yang tak mahu mengerti. Sayang bagi hati terkunci mati. Mujur ramai memberi sokongan dikala kaki sudah melalang tak lagi mampu berdiri sendiri.

Peluang yang diberi kucermati setulusnya. Baru kini kukenal jauhari. Tika manikam menyinar cahya. Namun bukan semudah itu menilai hikmah. Apatah aku yg setahun jagung. Perlu disisihkan dulu gunting dalam lipatan yang rencong diluar pepat didalam, telunjuk lurus kelingking berkait. Nilaian prejudis yang membutakan mata hati perlu diketepi demi mengangkat kebenaran hakiki. Bertarung menyingkirkan penafian. Terlalu sukar. Amat sukar. Dan aku perlukan masa untuk itu semua..

Sepanjang tempoh pertapaan, satu persatu peristiwa menjelma. Dejavu seram yang pernah menghantuiku suatu ketika dulu benar terjadi. Dan tak kusangka magnitudnya sedahsyat ini. Bukan tak redha, cuma belum bersedia. Impak yg kuterima buat ku terduduk penuh keinsafan. Apakan daya, kudrat insan tak bisa melawan iradat Tuhan. Yang ditetapkan adalah yg terbaik dari Khaliq buat sang makhluq. Nasihat bonda melintas di atas batu jemala kepala. Ini keniscayaan yg akan kupegang sampai kiamat dunia. Menerbitkan rasa lega seketika.


Monolog sendiri aku kali ini. Merenung hak diri penuh kejujuran. Sampai bila harus begini. Oh Tuhan. Tunjukkan aku jalan. Arah mana mencari pedoman. Guna merentas sahara kehidupan yang tak kuketahui dihadapan. Dhaif dan naif aku akui. Nyata apa yang kumiliki hanya sekelumit cebisan ais dibalik bongkah gergasi yg tersembunyi. Dan barulah kini ku fahami hukum ini. Karma abadi milik Ilahi. Dan kala kesangsian merajai hati, tiada lagi yg bisa mententeramkan selain Kalam suci. Maka berbicaralah aku mengharap erti. Menanti pencerahan keesokan hari..

Dalam kelam bersulam suram, sentuhan bertuhan hadir memberi harapan. Dititipnya buat insan yg kebutaan meraba dalam kegelapan. Kukenali beberapa watak selayaknya kugelar guru. Hadir seketika memberi pedoman. Tak banyak namun memadai. Siraman nasihat yang membugarkan jiwa. Semangat yg telah patah kutaut kembali. Jiwa yg lara kubujuk dengan rantaian titir zikir. Kini langkahku yg sejenak sumbang kembali bertenaga. Episod gelap dipinggiran catatan Raqib Atid akan kujadikan peta pedoman. Takkan lagi terjerumus ke lubang yg sama dua kali. Pastinya hadir kembali ke gelanggang tarung yg telah ku tinggalkan dengan watak baru. Bukan lagi protagonis mewarna khalayak. Proklamasi penting. Yang mustahak ketika ini adalah pencarianku. Mencari Raja Mergastua di rimba. Bekalnya azimat keramat kukutip pertapaan..

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Kamil !
Kalimah kebenaran telah zahir
Tak usah engkau ragukan
Kita datang dari dia
Kita pulang padaNya

Salji biru seakan cair.. Di nuansa yang lain ia bakal terzahir. Dan bayu berpuput lembut merelakan pemergian salji biru diiringi melankolik nokhtah pilu...