Monday, December 21, 2009

Kegembiraan dalam kesamaran



"Pengaruh Petronas pikat Iraq"

Sedutan akhbar yang saya tatap hujung minggu lalu di Gem Beach Resort membuat saya gamam. Kornea mata statik bagai lumpuh disihir manderam akhbar Berita Harian tengahari Jumaat itu mengundang enzim emilase ditelan paksa.

Bangga

Analisis sepanjang satu muka surat salah satu tabloid arus perdana tersebut benar membanggakan. Besar jiwa saya ketika itu persis Dalai Lama yang setia membela rakyat Nepal, Hasan Al-Banna mengharuskan semangat nasionalisme pada asas yang benar, Aristotle membebaskan nilai akal yang sekian lama bertakhta di persada istana Rom menentang Zeus, Al-Ghazali membawa nilai falsafah baru melalui aliran Tauhid Tiga Serangkai.

Frasa 'Petronas' amat signifikan dalam persejarahan diri penulis. Meski, sekadar pelajar tajaan pada suatu ketika namun segala aspirasi dan prestijnya sekian lama tertancap di sanubari.

PRESTIJ

Cangkir kopi radix yang dihirup sedari tadi saya letakkan di atas alas porselin putih meneruskan bacaan. Satu demi satu fakta diteliti.

"Dengan jangkaan pengeluaran minyak akan meningkat kepada 4.7 juta tong sehari dalam beberapa tahun akan datang berbanding kadar 1.5 juta tong sehari ketika ini, maka kepercayaan diberikan Iraq terhadap syarikat minyak dari Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), amat dihargai. "

Petikan tersebut merangsang minat saya untuk mempercayai bahawa "ini betul-betul kejadian, bukan cubaan."

Memang kita harus mempersetujui bahawa Iraq amat terdesak dalam membina semula struktur ekonomi pasca pencerobohan tentera Amerika pada tahun 2003. Akur dengan keupayaan teknologi yang amat ketinggalan akibat ketagihan candu peperangan ciptaan Saddam Hussein telah memaksa menteri luar negerinya membuka tender bagi penerokaan beberapa telaga minyak baru di beberapa lokasi utara dan selatan negara tersebut kepada syarikat gergasi minyak dunia.

TAKJUB

Kapasiti emas hitam di negara tersebut merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas Saudi dan Iran. Menakjubkan, dalam banyak-banyak telaga yang disasarkan Petronas telah memenangi 2 bidaan terbesar. Lokasinya di Majnoon dan Halfaya. Sukar dimengerti dari mana datangnya magis ini.

Untuk lebih menambah ghairah, Majnoon diibaratkan pesisiran pantai Kerteh Terengganu manakala Halfaya adalah Miri. Lebih realistik, gunakan kanta pembesar untuk melihatnya di atas peta dua lokasi tersebut. Begitulah gandaan keluasan telaga minyak yang kita perolehi menerusi bidaan kali kedua

Di Majnoon, Petronas bergandingan dengan Shell manakala Halfaya telah membentuk konsortium gabungan 3 syarikat - Petronas, China National Petroleum Company (CNPC) dan Total, firma minyak prima dari Perancis. Ternyata pengaruh syarikat minyak Malaysia berjaya 'menewaskan' syarikat asing termasuk yang terkemuka dari negara kuasa besar ekonomi dunia. Ini menunjukkan betapa sebuah syarikat minyak milik Kerajaan Malaysia dan hampir keseluruhan pengurusan serta tenaga kerjanya daripada kalangan umat Melayu dan Islam, bukan saja mampu mengatur survivalnya dalam ruang geografi Malaysia, malah tanpa sedar diantarabangsakan.

..................................

Saya menyelasaikan bacaan dengan penuh tanda tanya di benak kepala.

Apa benar segala catatan yang dikarang penganalisis tersebut bakal diterjemahkan ke alam realiti. Inilah salah satu perangai saya yang kurang elok, sukar amat meletak kepercayaan kepada sesuatu yang belum terjadi.

Barang perlu diingat, Amerika Syarikat tak kan pernah selesa dengan perkembangan ini. Ataukah mereka lebih jauhari dalam menghidu situasi semasa di negara tamadun Mesopotamia itu.

Sebarang perjanjian kerjasama serta persetujuan konsesi penerokaan telaga minyak hanya akan diluluskan selepas parlimen Iraq bersidang Mac ini. Ini bermakna, kebarangkalian untuk berlaku pindaan pastilah amat luas ruangnya. Kajian jelas menjelaskan kepada kita kerajaan pimpinan Nuri Al-Maliki ini memiliki hubungan yang signifikan dengan Washington dan tanpa pertalian sakra ini pastilah kabinet tersebut tidak wujud.

"Sufi, kau ni duk tepi pantai pun nak membaca.. jom jalan main air" sergah teman saya yang memerhati sekian lama.

Fokus saya mati di situ.

Jauh di sudut hati agar perasaan awal saya tadi tidak sekadar kebanggaan kontemporari sifatnya. Mungkin berita yang dibaca bakal menjadi realiti, mungkin juga tidak. Dalam pada itu, pujian harus diberikan kepada Tan Sri Hasan Merican selaku CEO Petronas yang amat cemerlang dalam mengangkat kegemilangan negara ke persada dunia.

Destinasi selepasnya pada hari itu menikmati bayu laut di pinggiran Tanjung Gelam.

p/s: Khabarnya Petronas akan memanggil semula graduan dibawah tajaannya untuk diserap ke beberapa sektor berkaitan sejajar perkembangan berita ini. Maka, rakan-rakan yang masih belum dipanggil, nantikan giliran anda.

No comments: