Saturday, December 10, 2011

Kemerdekaan, Suatu Penilaian Semula

“Mat Indera adalah seorang komunis, dan beliau tidak layak digelar pejuang kemerdekaan”. Begitu petikan akhbar arus perdana yang benar mengguris perasaan saya. Apatah lagi saya baru sahaja secara kebetulan bertemu seorang handai keturunan tokoh pejuang tersebut di Felda Tenggaroh ketika polemik mengenai beliau mula mendapat liputan meluas. Hasil perbualan ringkas dengan ahli keluarga Mat Indera, saya dapat menggambarkan sosok peribadi beliau sebagai seorang ahli agama serta warak orangnya. Sangat memegang prinsip dalam berjuang dan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi menjadikan saya agak keliru pada awalnya dalam meletakkan pendirian mengenai beberapa tokoh yang digelar komunis. Syukur, kerunsingan saya mula terungkai setelah mendengar penjelasan beberapa tokoh akademik semasa mengikuti kursus PITO ini dan penemuannya positif.

Sejarah ditulis oleh mereka yang menang”. Ringkas tetapi cukup menjelaskan kebenaran yang selama ini saya cari. Tidak perlu untuk saya ulas kelompok pemerintah yang sudah sememangnya diketahui umum sebagai pejuang kemerdekaan sebaliknya saya ingin berkongsi pandangan dalam ruang yang terhad ini berdasarkan penelitian baru yang saya peroleh sepanjang kursus PITO ini.

Jujurnya, saya sering mencari pandangan kedua dalam menilai sumbangan kelompok kiri yang sering dinafikan penyertaannya. AWAS, SEDAR, API, KMM, serta pertubuhan berhaluan kiri yang lain pada saya turut memberi sumbangan yang signifikan cuma terbatas dari segi pengiktirafannya. Masakan tidak, Ibrahim Yaakub, Burhanudin Hilmi, Samsiah Fakeh, Rashid Maidin, Chin Peng dan deretan tokoh haluan kiri lain cukup besar dalam menyemarakkan semangat penduduk Tanah Melayu bangkit menentang penjajah tanpa mengira modus operandi yang dilaksanakan. Samada ia berbentuk subversif, pendakatan mata pena, religious approach, mahu pun melalui rundingan diplomasi, semuanya harus dinilai secara adil. Meski idealogi yang dipegang dikatakan bertentangan dengan parti pemerintah, keadilan dalam menilai sejarah adalah perkara pertama yang perlu diletakkan oleh para pengkaji serta academia kerana seandainya sentimen prejudis serta bias terus menerus dijadikan alat kepentingan, nescaya selamanya kebenaran sejarah terus disamarkan. Dalam hal ini, kita tidak perlu apologetik, seperti kata Tun Dr Mahathir.

Selanjutnya, saya kian jelas mengenai unsur penulisan sejarah yang selama ini saya terkhilaf. Dalam konteks kemerdekaan khususnya, penilaian tidak sewajarnya dikecilkan skopnya terhadap catatan teks satu versi, sebaliknya haruslah mengambilkira faktor sekitar yang barangkali sengaja dipadamkan pihak tertentu. Mengambil contoh “Mat Indera” yang dimomokkan dari awal merupakan seorang komunis, kebanyakan orang umum terlepas pandang situasi sosial dan politik pada masa dan tempat berlakunya kejadian. Dengan ketiadaan teknologi internet dan terhadnya aliran maklumat pada zaman tersebut, adalah sukar untuk menentukan letak duduk perjuangan pasukan yang disertai. Apatah lagi mereka yang ingin meluahkan aspirasi perjuangan kemerdekaan tidak memiliki alternatif lain selain turut serta bertempur di hutan. Ini adalah sebahagian faktor yang perlu diteliti sebelum kita layak menjatuhkan sebarang tanggapan.

Konklusinya, setelah membuat pembacaan dan mendengar syarahan melalui kelas yang dihadiri sepanjang PITO, saya membuat pendirian bahwa kita perlu bersikap terbuka dalam mengiktiraf sumbangan para pejuang yang telah selama ini tanpa mengira pandangan dan haluan kelompok terbabit. Bahkan sentiment prejudis dan apologetik yang selama ini dipegang seharusnya diberi penilaian semula kerana bak kata Brutus ketika membunuh Julius Caesar, “truth can be delayed but always can’t be denied

Mohon pandangan yang lain meski isunya agak sudah 'sejuk'..