Friday, February 26, 2010

Analisis artikel: Paradoks Demokrasi di Thailand



Di kesempatan kali ini, saya berhajat untuk berkongsi maklumat dengan sekalian pengunjung SB berkenaan beberapa kajian yang dilakukan dalam rangka menyediakan beberapa latar belakang berhubung disiplin ilmu Politik Perbandingan. Sekadar analisis ringan daripada seorang faqir yang kerdil penguasaan ilmunya. Segala masukan dan pandangan pembaca amat penulis harapkan demi mengharmonikan nilai kelestarian dan keluasan ilmu.

Artikel yang berjudul “Paradoks Demokrasi di Thailand” ini memaparkan kepada khalayak pembaca mengenai sejarah dan cabaran negara Thailand dalam menghidupkan nilai-nilai demokrasi tulen sepertimana yang telah dicontohkan oleh negara-negara membangun lainnya. Disingkap dari sudut persejarahan, Thailand telah memulakan langkah pertama menuju ke arah pengamalan sistem pemerintahan demokrasi bermula pada tahun 1933 setelah berlangsungnya pilihan raya yang pertama. Walau bagaimanapun, usaha ini sentiasa menemui laluan sukar dan mengalami pasang surut disebabkan kerapnya berlaku rampasan kuasa, rasuah dalam sistem pilihanraya di samping ketidak cekapan akan sesebuah kerajaan yang dipilih. Dengan merujuk kepada beberapa kes sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah memperlihatkan betapa rakyat Thailand mengalami proses yang cukup dramatis dalam memastikan tertegaknya nilai-nilai demokrasi di peringkat sistem dan institusi politiknya. Sebagai perbandingan, penulis telah menyatakan 5 faktor yang telah dijadikan sebagai asas perbincangan untuk para pembaca menilai sejauh manakah pemerintahan secara demokrasi telah terwujud di Negara Gajah Putih ini. Jelasnya, kehadiran faktor- faktor dominan seperti peranan raja, keterlibatan junta tentera yang acap kali melakukan kudeta, ketirisan sistem pilihanraya serta kewujudan parti politik yang bersaing di gelanggang politik telah menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menghidupkan norma demokrasi tulen ini.

Reputasi Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-23 pada peringkat awal amat memberangsangkan. Hal ini terbukti apabila parti pimpinannya, Thai Rak Thai telah mencapai kemenangan majoriti mutlak dalam pilihan raya Januari 2001, suatu pencapaian luar biasa yang belum pernah diperoleh daripada mana-mana parti politik Thailand sebelumnya. Seterusnya, beliau bersama partinya sekali lagi telah memperoleh mandat besar dalam pilihan raya dalam 6 Februari 2005 dan menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand pertama yang berjaya melengkapkan tempoh jawatan selama empat tahun dan yang pertama memperoleh majoriti mutlak. Walau bagaimanapun, kedudukannya mula merudum pada awal tahun 2006 rentetan kegagalan menangani beberapa isu kontroversi antaranya isu diskriminasi terhadap penduduk Muslim selatan Thai, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran, campur tangan terhadap kedudukan penting dalam jabatan tentera dan polis serta tindakannya memberi tekanan kepada pihak pembangkang dan media. Kemuncak penentangan rakyat Thailand terhadap Thaksin adalah pada Februari 2006 di Bangkok apabila demonstrasi besar-besaran telah dilakukan untuk menuntut beliau meletak jawatan. Ironi yang berlaku adalah beliau telah didesak melepaskan jawatan meskipun mendapat mandat yang kukuh sebelumnya dan hal ini membuktikan bahawa suara rakyat begitu berkuasa dalam amalan sistem demokrasi.

Kedudukan raja dalam institusi kenegaraan telah memberi suatu ciri unik terhadap Thailand. Dogma akan kedaulatan raja merupakan elemen terpenting dalam menentukan kestabilan sesebuah pemerintahan di Thailand. Raja Bhumipol Adulyadej, raja yang paling lama menduduki takhta (1946-kini) dan masih hidup ini telah memberi memberi sumbangan yang signifikan terhadap landskap politik Thailand. Penggulingan kerajaan autokratik Thaksin dikatakan telah mendapat restu daripada pihak istana setelah beliau dikatakan membelakangkan nasihat dan pandangan Raja Bhumipol berhubung beberapa perkara. Hal ini turut dibuktikan melalui sokongan secara halus pihak istana apabila membenarkan lilitan reben kuning (warna diraja) di hujung kereta kebal dan laras senjata tentera yang terlibat dan seterusnya membolehkan proses rampasan kuasa tersebut berlaku secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah. Tidak seperti negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan lainnya seperti Malaysia, Jepun dan Britain, campur tangan pihak raja dikatakan tidak begitu signifikan terhadap kes seumpama ini. Walau bagaimanapun, persoalan timbul apabila campur tangan raja sebegini mampu menjejaskan ciri amalan demokrasi yang senantiasa mementingkan keabsahan kuasa sesuatu pemerintahan melalui proses pemberian undi oleh rakyat.

Penglibatan junta tentera Thailand dalam kancah politik negara tersebut turut memberi variasi kepada corak demokrasi sistem politiknya. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 18 kali cubaan rampasan kuasa telah dilancarkan dan hampir kesemuanya berjaya, membuktikan betapa junta tentera telah merencatkan perkembangan demokrasi Thailand. Meskipun pihak tentera Thailand membuat penafian menerusi kenyataan bahawa tindakan mereka menggulingkan sesebuah kerajaan sebaliknya bertujuan untuk memulihkan sistem demokrasi daripada dieksploitasi kepentingan pemerintah, namun ia masih menjadi tanda tanya jika dibuat perbandingan dengan fungsi tentera di Indonesia. Masakan tidak, Tentera Nasional Indonesia hanya pernah sekali melakukan kudeta pada zaman Sukarno oleh Jeneral Suharto. Selain daripada itu, mereka tidak pernah lagi terlibat secara langsung dengan sistem politik Indonesia meski suasana negaranya tidak jauh berbeza dengan Thailand. Harus diingat, setiap rampasan kuasa yang terjadi jelas mencerminkan pelanggaran lunas-lunas demokrasi dalam berpolitik dari aspek perundangan yang memberi peluang setiap rakyat menentukan sebarang dasar dan polisi negara.

Faktor seterusnya adalah ketelusan dan kebebasan sistem pilihan raya Thailand. Suruhanjaya Pilihan Raya merupakan institusi yang dipertanggungjawabkan mengendali dan menguruskan perjalanan pilihan raya. Integriti institusi ini kemudiannya dipertikaikan ketelusannya di akhir zaman pemerintahan Thaksin apabila kelihatan jelas segelintir ahli politik proksi Thaksin di kalangan peniaga dan korporat yang bertanding, telah mencemarkan nilai demokrasi melalui pemberian rasuah dan membeli undi semasa pilihan raya demi kepentingan politik masing-masing. Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya turut semakin terhakis apabila tiga anggotanya disabitkan bersalah oleh mahakamah kerana mengadakan pakatan sulit dengan parti pemerintah bagi memanipulasi pilihan raya terbabit. Selain itu, Parti Demokrat telah mengambil pendirian dengan memulaukan pilihan raya 2006, hal yang jelas melanggar undang-undang dan etika demokrasi, sesuatu yang tidak akan dijumpai di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda. Sistem pilihan raya yang tidak stabil ini amat mempengaruhi perkembangan demokrasi di Thailand.

Selain daripada faktor tersebut di atas, perkembangan akan pembentukan parti politik di Thailand juga amat menarik untuk diperhatikan. Rekod rasmi di pejabat Setiausaha Parlimen Thai mencatatkan terdapat lebih daripada seratus parti politi muncul dan beroperasi hingga ke hari ini. Namun, pakar pengkaji politik mengatakan bahawa parti-parti politik di Thailand kebanyakannya berdepan dilema teori asas pembentukan sebuah parti politik. Penulis merujuk kepada teori Huntington yang mencadangkan bahawa sesebuah parti politik harus melalui empat fasa perkembangan sebelum diserap kepada sistem politik iaitu fahaman berpuak (factionalism), pemencaran (polarization), perluasan (expansion) dan institusionalisasi (institutionalization). Jika teori ini dijadikan asas kepada penilaian di Thailand, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah kesemuanya masih berada di fasa pertama iaitu fasa berpuak. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menjadi fokus utama sebaliknya untuk mencetus kesan dan akibat apabila wujudnya senario lambakan parti politik pra- matang di Thailand. Hal ini semestinya akan menyulitkan lagi proses demokrasi di sebuah negara dunia ketiga seperti Thailand yang masih mencari asas kestabilan ekonomi, politik dan sosialnya. Kekhuatiran ini walau bagaimanapun mungkin tidak terlalu mencemaskan sekiranya ia wujud di negara yang telah stabil kedudukan politiknya seperti United Kingdom dan Kanada.

KESIGNIFIKANAN ARTIKEL

Menerusi penelitian terhadap artikel ini, adalah mustahak untuk kita memahami suasana rencam yang disebutkan di atas merupakan cabaran terbesar rakyat Thailand dalam usaha menyuburkan lagi amalan demokrasi tulen. Hambatan utama yang dikesan adalah bagaimana untuk memberi kefahaman mengenai kesedaran politik bernilai demokrasi yang telah ditempuh negara membangun yang lain. Dalam usaha ke arah mencapai kestabilan tersebut, proses sosialisasi menerusi pembudayaan maklumat serta komunikasi yang holistik dan integral ke segenap lapisan masyarakat dapat menjamin penyebaran idealogi demokrasi secara lebih berkesan.

Kebejatan situasi politik Thailand ini juga sedikit sebanyak menjejaskan usaha untuk menjadikan ia sebagai negara yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Kenyataannya, soal kebajikan rakyat, ikhtiar memajukan ekonomi demi kemakmuran negara, pemulihan kadar inflasi dan indeks pengangguran yang kian meruncing sudah tidak lagi menjadi manifesto utama pemerintah dan rakyat sebaliknya hanya dikusutkan menerusi sentimen politik sempit pemerintah demi mencapai matlamat dan kepentingan peribadi.

Contoh-contoh peristiwa yang telah berlaku di Thailand sewajarnya dijadikan sempadan buat negara yang ingin memerdekakan sistem politiknya mengikut acuan demokrasi berperlembagaan, apatah lagi dalam kondisi dunia masa kini, telah wujud segenap teori dan konsep demokrasi yang tidak seragam. Maka tidak hairan jika sebilangan besar sarjana barat telah mengklasifikasikan Thailand sebagai negara yang memiliki sistem demokrasinya tersendiri atau lebih dikenali “demokrasi ala-Thai” suatu perkara yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Rujukan: Paradoks Demokrasi Di Thailand oleh Ahmad Zaki Hasan ( Pemikir 2007)

Thursday, February 25, 2010

Sayu dalam sendu

Salam

Saudara ku yang dirindui, betapa terkejutnya diri ini setelah mendengar perkhabaran ini. Apatah lagi selepas menatap gambar yang dikongsikan ketika kemalangan ini terjadi.

Moga kalian terus tabah, diberi keampunan, rahmat dan diangkat derjat kemuliaan disisiNya.

Betapa sayunya hati kerna hanya mampu melihat dan tak mampu berbuat apa-apa kala ini.

Hanya doa yang terdaya ku kirim tanda rabitah hati. Air mata sudah kering tak mampu lagi menitis.

Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala hikmah ini..





Saturday, February 13, 2010

Salju di danau rindu

"Sufi, bila nak update blog. Dah lama tak dengar bait puitis hang.."

Tersenyum saya pagi itu.

"Awak buat saya sakit perut menahan gelak. Bagai tak percaya Furqan peminat blog saljibiru.." saya membalas.

Setahu saya beliau adalah individu yang minat membacanya hanya tertumpu pada perkembangan Chelsea seangkatannya. Apa pun saya hargai kesetiaannya terus menerus memotivasi saya menulis.

Dan syukur pada Tuhan memberi ruang untuk mengintai semula kalam yang telah lama ditinggalkan. Entah kenapa tergerak menulis selepas menonton "Ketika Cinta Bertasbih 2".

Sejujurnya sekalung pujian harus diberikan kpd produksi berkenaan yang telah berjaya menerbitkan karya berkualiti. Paling tidak ia memberi penjelasan tentang bagaimana hubungan sesama manusia yang sewajarnya. Ditambah adunan nilai kejiwaan dengan elemen agama digarap begitu sempurna benar-benar menyentuh perasaan saya. Jarang sekali untuk saya memberi pujian terhadap hasil seni tetapi kali ini saya terpaksa mengangkat ibu jari ke atas atas sentuhan imaginasi Kang Habib. Buat yang masih belum menonton saya cadangkan agar dijadikan hiburan ringan di sela kelapangan.

"Ke mana awak pergi selama ni Sufi? dah la blog tak update..sakit betul bila diam begini" Reezal teman dari UUM menghantar sms.

Saya benar-benar mohon kemaafan atas 'kehilangan' ini. Buat yang tak jemu-jemu hadir menjenguk, perhatian kalian saya hargai. Semoga blog ini akan terus menjadi medan bermanfaat bertukar maklumat dan cerita.

Sebetulnya, saya masih sedaya upaya menyesuaikan diri dengan hidup baru. Melanjutkan pengajian di peringkat sarjana sangat mencabar keupayaan pengurusan waktu saya.

Dengan perubahan drastik asas pengajian sebelumnya membuat saya harus memberi 200% perhatian terhadap pembacaan lapangan baru. Diakui, kajian Sains Politik amat luas capaiannya. Tambahan pula, semester ini merupakan sesi percubaan bagi pelajar pra-syarat seperti saya. Jika tidak lulus kelayakan minima bererti tiba utk melupakan hasrat menguasai cabang ini.

"You should be an engineer Sufi. Its so weird when I know about this. Think about your future. Your age is no longer young man. Its time for you to build up your life, marriage and pride of your family.." begitulah coretan Kat dalam emel yang diutusnya dari Brisbane hujung bulan lepas.

Saya sedar ramai yang tertanya. Namun, buat masa ini tiada jawapan mutlak yang dapat disediakan buat semua. Ia sangat berkaitan percaturan masa depan. Mungkin tepat mungkin juga tidak. Segalanya saya serahkan pada istikharah serta fatwa hati.

............

"Bilakah lagi kita semua satu hati..." nada dering telefon bimbit saya berbunyi.

"Sufi, hang kat mana? Berpeluh aku tunggu kat stesen UKM ni. Cpat sket..bawa WQV tau tak sanggup naik moto. Barang banyak ni.." Furqan Al-Chelsea bersuara..

Dan saya pun harus menghentikan coretan setakat di sini dahulu..