Friday, February 26, 2010

Analisis artikel: Paradoks Demokrasi di Thailand



Di kesempatan kali ini, saya berhajat untuk berkongsi maklumat dengan sekalian pengunjung SB berkenaan beberapa kajian yang dilakukan dalam rangka menyediakan beberapa latar belakang berhubung disiplin ilmu Politik Perbandingan. Sekadar analisis ringan daripada seorang faqir yang kerdil penguasaan ilmunya. Segala masukan dan pandangan pembaca amat penulis harapkan demi mengharmonikan nilai kelestarian dan keluasan ilmu.

Artikel yang berjudul “Paradoks Demokrasi di Thailand” ini memaparkan kepada khalayak pembaca mengenai sejarah dan cabaran negara Thailand dalam menghidupkan nilai-nilai demokrasi tulen sepertimana yang telah dicontohkan oleh negara-negara membangun lainnya. Disingkap dari sudut persejarahan, Thailand telah memulakan langkah pertama menuju ke arah pengamalan sistem pemerintahan demokrasi bermula pada tahun 1933 setelah berlangsungnya pilihan raya yang pertama. Walau bagaimanapun, usaha ini sentiasa menemui laluan sukar dan mengalami pasang surut disebabkan kerapnya berlaku rampasan kuasa, rasuah dalam sistem pilihanraya di samping ketidak cekapan akan sesebuah kerajaan yang dipilih. Dengan merujuk kepada beberapa kes sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah memperlihatkan betapa rakyat Thailand mengalami proses yang cukup dramatis dalam memastikan tertegaknya nilai-nilai demokrasi di peringkat sistem dan institusi politiknya. Sebagai perbandingan, penulis telah menyatakan 5 faktor yang telah dijadikan sebagai asas perbincangan untuk para pembaca menilai sejauh manakah pemerintahan secara demokrasi telah terwujud di Negara Gajah Putih ini. Jelasnya, kehadiran faktor- faktor dominan seperti peranan raja, keterlibatan junta tentera yang acap kali melakukan kudeta, ketirisan sistem pilihanraya serta kewujudan parti politik yang bersaing di gelanggang politik telah menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menghidupkan norma demokrasi tulen ini.

Reputasi Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-23 pada peringkat awal amat memberangsangkan. Hal ini terbukti apabila parti pimpinannya, Thai Rak Thai telah mencapai kemenangan majoriti mutlak dalam pilihan raya Januari 2001, suatu pencapaian luar biasa yang belum pernah diperoleh daripada mana-mana parti politik Thailand sebelumnya. Seterusnya, beliau bersama partinya sekali lagi telah memperoleh mandat besar dalam pilihan raya dalam 6 Februari 2005 dan menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand pertama yang berjaya melengkapkan tempoh jawatan selama empat tahun dan yang pertama memperoleh majoriti mutlak. Walau bagaimanapun, kedudukannya mula merudum pada awal tahun 2006 rentetan kegagalan menangani beberapa isu kontroversi antaranya isu diskriminasi terhadap penduduk Muslim selatan Thai, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran, campur tangan terhadap kedudukan penting dalam jabatan tentera dan polis serta tindakannya memberi tekanan kepada pihak pembangkang dan media. Kemuncak penentangan rakyat Thailand terhadap Thaksin adalah pada Februari 2006 di Bangkok apabila demonstrasi besar-besaran telah dilakukan untuk menuntut beliau meletak jawatan. Ironi yang berlaku adalah beliau telah didesak melepaskan jawatan meskipun mendapat mandat yang kukuh sebelumnya dan hal ini membuktikan bahawa suara rakyat begitu berkuasa dalam amalan sistem demokrasi.

Kedudukan raja dalam institusi kenegaraan telah memberi suatu ciri unik terhadap Thailand. Dogma akan kedaulatan raja merupakan elemen terpenting dalam menentukan kestabilan sesebuah pemerintahan di Thailand. Raja Bhumipol Adulyadej, raja yang paling lama menduduki takhta (1946-kini) dan masih hidup ini telah memberi memberi sumbangan yang signifikan terhadap landskap politik Thailand. Penggulingan kerajaan autokratik Thaksin dikatakan telah mendapat restu daripada pihak istana setelah beliau dikatakan membelakangkan nasihat dan pandangan Raja Bhumipol berhubung beberapa perkara. Hal ini turut dibuktikan melalui sokongan secara halus pihak istana apabila membenarkan lilitan reben kuning (warna diraja) di hujung kereta kebal dan laras senjata tentera yang terlibat dan seterusnya membolehkan proses rampasan kuasa tersebut berlaku secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah. Tidak seperti negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan lainnya seperti Malaysia, Jepun dan Britain, campur tangan pihak raja dikatakan tidak begitu signifikan terhadap kes seumpama ini. Walau bagaimanapun, persoalan timbul apabila campur tangan raja sebegini mampu menjejaskan ciri amalan demokrasi yang senantiasa mementingkan keabsahan kuasa sesuatu pemerintahan melalui proses pemberian undi oleh rakyat.

Penglibatan junta tentera Thailand dalam kancah politik negara tersebut turut memberi variasi kepada corak demokrasi sistem politiknya. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 18 kali cubaan rampasan kuasa telah dilancarkan dan hampir kesemuanya berjaya, membuktikan betapa junta tentera telah merencatkan perkembangan demokrasi Thailand. Meskipun pihak tentera Thailand membuat penafian menerusi kenyataan bahawa tindakan mereka menggulingkan sesebuah kerajaan sebaliknya bertujuan untuk memulihkan sistem demokrasi daripada dieksploitasi kepentingan pemerintah, namun ia masih menjadi tanda tanya jika dibuat perbandingan dengan fungsi tentera di Indonesia. Masakan tidak, Tentera Nasional Indonesia hanya pernah sekali melakukan kudeta pada zaman Sukarno oleh Jeneral Suharto. Selain daripada itu, mereka tidak pernah lagi terlibat secara langsung dengan sistem politik Indonesia meski suasana negaranya tidak jauh berbeza dengan Thailand. Harus diingat, setiap rampasan kuasa yang terjadi jelas mencerminkan pelanggaran lunas-lunas demokrasi dalam berpolitik dari aspek perundangan yang memberi peluang setiap rakyat menentukan sebarang dasar dan polisi negara.

Faktor seterusnya adalah ketelusan dan kebebasan sistem pilihan raya Thailand. Suruhanjaya Pilihan Raya merupakan institusi yang dipertanggungjawabkan mengendali dan menguruskan perjalanan pilihan raya. Integriti institusi ini kemudiannya dipertikaikan ketelusannya di akhir zaman pemerintahan Thaksin apabila kelihatan jelas segelintir ahli politik proksi Thaksin di kalangan peniaga dan korporat yang bertanding, telah mencemarkan nilai demokrasi melalui pemberian rasuah dan membeli undi semasa pilihan raya demi kepentingan politik masing-masing. Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya turut semakin terhakis apabila tiga anggotanya disabitkan bersalah oleh mahakamah kerana mengadakan pakatan sulit dengan parti pemerintah bagi memanipulasi pilihan raya terbabit. Selain itu, Parti Demokrat telah mengambil pendirian dengan memulaukan pilihan raya 2006, hal yang jelas melanggar undang-undang dan etika demokrasi, sesuatu yang tidak akan dijumpai di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda. Sistem pilihan raya yang tidak stabil ini amat mempengaruhi perkembangan demokrasi di Thailand.

Selain daripada faktor tersebut di atas, perkembangan akan pembentukan parti politik di Thailand juga amat menarik untuk diperhatikan. Rekod rasmi di pejabat Setiausaha Parlimen Thai mencatatkan terdapat lebih daripada seratus parti politi muncul dan beroperasi hingga ke hari ini. Namun, pakar pengkaji politik mengatakan bahawa parti-parti politik di Thailand kebanyakannya berdepan dilema teori asas pembentukan sebuah parti politik. Penulis merujuk kepada teori Huntington yang mencadangkan bahawa sesebuah parti politik harus melalui empat fasa perkembangan sebelum diserap kepada sistem politik iaitu fahaman berpuak (factionalism), pemencaran (polarization), perluasan (expansion) dan institusionalisasi (institutionalization). Jika teori ini dijadikan asas kepada penilaian di Thailand, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah kesemuanya masih berada di fasa pertama iaitu fasa berpuak. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menjadi fokus utama sebaliknya untuk mencetus kesan dan akibat apabila wujudnya senario lambakan parti politik pra- matang di Thailand. Hal ini semestinya akan menyulitkan lagi proses demokrasi di sebuah negara dunia ketiga seperti Thailand yang masih mencari asas kestabilan ekonomi, politik dan sosialnya. Kekhuatiran ini walau bagaimanapun mungkin tidak terlalu mencemaskan sekiranya ia wujud di negara yang telah stabil kedudukan politiknya seperti United Kingdom dan Kanada.

KESIGNIFIKANAN ARTIKEL

Menerusi penelitian terhadap artikel ini, adalah mustahak untuk kita memahami suasana rencam yang disebutkan di atas merupakan cabaran terbesar rakyat Thailand dalam usaha menyuburkan lagi amalan demokrasi tulen. Hambatan utama yang dikesan adalah bagaimana untuk memberi kefahaman mengenai kesedaran politik bernilai demokrasi yang telah ditempuh negara membangun yang lain. Dalam usaha ke arah mencapai kestabilan tersebut, proses sosialisasi menerusi pembudayaan maklumat serta komunikasi yang holistik dan integral ke segenap lapisan masyarakat dapat menjamin penyebaran idealogi demokrasi secara lebih berkesan.

Kebejatan situasi politik Thailand ini juga sedikit sebanyak menjejaskan usaha untuk menjadikan ia sebagai negara yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Kenyataannya, soal kebajikan rakyat, ikhtiar memajukan ekonomi demi kemakmuran negara, pemulihan kadar inflasi dan indeks pengangguran yang kian meruncing sudah tidak lagi menjadi manifesto utama pemerintah dan rakyat sebaliknya hanya dikusutkan menerusi sentimen politik sempit pemerintah demi mencapai matlamat dan kepentingan peribadi.

Contoh-contoh peristiwa yang telah berlaku di Thailand sewajarnya dijadikan sempadan buat negara yang ingin memerdekakan sistem politiknya mengikut acuan demokrasi berperlembagaan, apatah lagi dalam kondisi dunia masa kini, telah wujud segenap teori dan konsep demokrasi yang tidak seragam. Maka tidak hairan jika sebilangan besar sarjana barat telah mengklasifikasikan Thailand sebagai negara yang memiliki sistem demokrasinya tersendiri atau lebih dikenali “demokrasi ala-Thai” suatu perkara yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Rujukan: Paradoks Demokrasi Di Thailand oleh Ahmad Zaki Hasan ( Pemikir 2007)

2 comments:

Abu Dzar Al-Ghifari said...

pergh...memang gaya student Ma. Political Science!

faza4peace said...

Jadi Ikhwah Thai lak best best