Monday, April 26, 2010

Dean's List VS Deen's List


"Doakan saya Sufi, ada 2 paper esok pagi petang. Mcm dah give up ni.."

Sms tersebut saya terima lewat dini jam 2.30 pagi. Tak disangka siswa UPM tersebut masih belum lena kala sekalian sahabatnya sudah merehatkan kelopak mata.

"Segenap usaha sudah diikhtiarkan, maka tenanglah berserah di atas sejadah" balas saya cuba mententeramkan dalam keadaan kornea separa celik kekunci telefon bimbit saya picit.

........................................................

"Sufi, semalam ada kes student perempuan kena tangkap meniru dalam dewan. Kecoh dibuatnya waktu kami menjawab.." bercerita putra Awan Biru.

Saya menggeleng sejurus mendengar omelannnya.

Kadang terfikir juga, bagaimana boleh sampai ke tahap itu aksinya. Sememangnya ia bukan sesuatu yg perlu dihairankan namun timbul persoalan lanjut yang tak mampu saya benahi sewarasnya.

Dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang hasil 'salinan' tanpa izin itu bukankah akan diambil kira semasa temu duga kerja kelak.

Dan sekiranya dengan keputusan yang tercatat indah di atas transkrip itu dijadikan asas pertimbangan diterimanya bekerja maka bererti kita sudah berjaya menerima wang gaji untuk dijadikan sebagai pasport keperluan harian guna sebagai memenuhi urusan makanan dan minuman yang akan mendarah daging ke cucu cicit.

Apalah gunanya kejayaan peperiksaan jika menempa langkah sukar kehidupan di hari kemudian. Tidak terlalu sukar rasanya sifir ini difahami. Mungkin rumusnya persis bagi urusan hal ehwal assignment, kuiz dan ujian lain yang seumpamanya.

Saya mengerutkan dahi yang sudah kian 'terang'.

"Eh Sufi, jom main catur" suara serak basah Awan Biru menyentak monolog saya petang itu.

Saya sekadar tersenyum.

Nota kuliah Politik Perbandingan yang diteliti sedari tadi nyata tidak berganjak walau sehalaman selepas hampir setengah jam menatap perenggan yang sama. Dan ia bermakna minda saya perlukan secebis hiburan.

"Menarik juga. Sudah hampir 8 tahun bidak catur tidak saya sentuh"

Esok merupakan kertas peperiksaan kedua saya selama mendaftar sebagai pasca siswazah di FSSK UKM. Percubaan pertama tempohari masih belum cukup ampuh untuk dijadikan bekal menuju semester sebenar Julai nanti.

Keletihan saya benar mencabar fokus di bait nota kuliah.

Aktiviti minggu lalu yang bermula pada Jumaat malam menerusi pertemuan dengan kelompok rakan pekerja selesai hampir jam 2 pagi.

Selanjutnya langsung pula ke Ayer Keroh menghadiri seminar ringkas penutup buat siswa UTeM. Diikutkan kemampuan rasanya tak terpandu WQV 4054 tersebut namun mujur ada sahabat saya, Ibnu Umar yang sudi membantu.

"Camana nak masuk gear ni? Sufi, tolong ajar"

Disangka boleh menyambung rehat rupanya harus menduduki kelas memandu jam 5 pagi lantaran Kelisa perak yang manual sifatnya. Dan ia bukanlah sesuatu yang menjadi kelaziman buat pengguna kenderaan auto seperti sahabat saya ini.

Walhasil, perjalanan menuju ke tol Bangi memakan masa 20 minit tempohnya meski jaraknya hanya 5 kilometer. Tersenyum sendiri saya dibuatnya.

Seminar penutup di Melaka tamat sekitar tengahari. Dan selepas ini kiblatnya langsung ke Batang Kali, Perhimpunan Pelajar Matriks Nasional sesi 2009-2010.

Saya gagahkan jua berkongsi pengalaman bersama sidang peserta. Angka yang hadir tidak begitu besar dan ini memberikan saya ruang selesa untuk berinteraksi dengan lebih dekat angkatan pelajar yang bakal bergelar siswa ini.

Slot berjaya disudahkan ketika jarum jam beranjak ke 12 tengah malam.

Kudrat diperah pulang ke Bangi mengenangkan peperiksaan yang bakal dihadapi.

Meski sedikit letih namun saya begitu puas. Akhirnya berjaya juga menyempurnakan tanggungjawab dan amanah yang diberi taulan.

Jauh di sudut hati saya berharap agar segala keringat yang tumpah akan diterima sebagai amal kebajikan.

Teringat saya nasihat seorang Dr yang merawat penyakit saya sejak tahun pertama bergelar siswa, Tuhan sentiasa dekat dengan insan yang berbuat kebaikan.

Sasarkan Deen's list, nescaya Dean's List!

...........................................................................

"Macam nak draw je ni" bilang saya

"Hmm, nampak gaya begitulah" Awan Biru bersetuju tanpa rela.

Buah catur yang berbaki Maharaja, Kesatria berkuda dan beberapa bidak saya tinggalkan dengan keputusan perlawanan berstatus seri.

Kepuasan berganda diperoleh apabila lawan saya tadi merupakan finalis kejohanan peringkat negeri dan saya menghadapnya serentak dengan nota kuliah politik di depan mata...


p/s: Terima kasih Awan Biru dan Ibnu Umar yang sedia menemani sepanjang minggu. Buat pengunjung SB, mohon doa kalian untuk paper terakhir Rabu ini..


4 comments:

Abu Dzar Al-Ghifari said...

bit taufiq wan najah fi imtihan

SufiSuci said...

Abu Dzar, anda memang sentiasa di sisi saat diri memerlukan. Lekas pulang ya banyak yang mahu dikisahkan

Nur Izzati said...

salam~

sharing yang sgt bermakna~

kdgkala, dek terlalu mengejar dean's list, diri ini terlupa adalagi deen's list yang lebih berharga..

SufiSuci said...

Izzati, fitrah insan itu kelupaan. Makrifat kebenaran tempat sandaran