Friday, December 18, 2009

Ekspidisi Gunung Batu Putih (part 2)

"Kita meshti shehati jiwa. Kalau sheshiapa yang rasha penat, berenti shama-shama. Makan shama-shama. Gerak pun shama-shama." Bah Langgar menyampaikan 'tazkirahnya'.

Sulit untuk kami memahami butir bicaranya di peringkat awal. Namun setelah beberapa ketika, akhirnya kami sudah dapat membiasakan diri dengan Bah Langgar serta Bah Chon, adiknya. Ketua kampung orang asli ini diperkenalkan kepada kami oleh Encik Helmi pegawai pejabat hutan Kuala Woh.

"Bang Sufi, ingat tau orang kita, bukan Orang Asli." Aiman mengingatkan.

"Yew lew, remind others k.."

Kehadiran kami ke ampangan orang kita ini menambah lagi koleksi pengalaman yang amat berharga. Tak putus-putus kagumnya kami dengan segenap aktiviti dan budaya di ceruk kampung Bah Langgar serta masyarakatnya.

Mereka menjalankan aktiviti persis masyarakat bandar meski skalanya masih agak kerdil. Kelihatan di tempat letak kereta kami berlakunya aktiviti transaksi perdagangan kecil. Kedapatan beberapa orang kita mengumpul beberapa longgok petai. Tak dapat saya jangkakan berapa banyak, tapi jika ditimbang rasanya berjulat tak kurang 300kg.

"Tapi diorang ni boros bang.." sapa Ali, pekerja kontrak diampangan memanggil semula subconcious mind saya yang sedari tadi sudah diterbangkat kerabat Bah Langgar.

Mungkin benar dakwaannya. Sejak jam 4 petang tadi, ramai orang kita yang berlegar-legar di sekitar parkir kecil tersebut menanti kehadiran van peniaga jalanan yang saban hari hadir berniaga disitu.

"Ye kot. Tengoklah, dari atuknya, nenek hingga ke cucu.. masing-masing pegang duit" saya bersetuju. Yang dewasa warna kertasnya merah, yang kecil notnya biru.


........................

Bunyi unggas di tengah rimba amat mengasyikkan. Seakan terhasil melodi indah dari sahutan yang beritma di tengah Dewan Filharmonik Orkestra semulajadi ini. Gas oksigen yang dibebaskan pokok-pokok sekitar saya sedut sedalamnya membuatkan ventrikel kiri membekalkan isipadu gas terlarut yang diterima menerusi vena kava jantung, beraksi lebih tinggi dari kadar biasa.

Mengalah dengan seruan alam, saya letak ke tepi buku yang saya sedang berusaha menyelesaikan pembacaannya sejak sebulan lalu, Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam terbitan PTS belian dari Gramedia Bookstore.

Peluang sebegini kebarangkaliannya pastilah hadirnya hanya dapat dibilang jari.

Setelah meyakini situasi sekitar telah selamat, pintu Estima 2.5V milik pasangan kembar Aiman & Danial saya buka perlahan. Kaki dihulur keluar berhati-hati mengelak terhasil sebarang bunyi.

Namun disangka cerah sampai ke petang rupanya mendung di tengah hari. Perkara yang paling saya khuatiri bakal terjadi. Kembaran anjing milik orang kita datang menghampiri sambil memerhati. Salah saya juga memakai baju merah menyala di saat begini.

Renungan kembaran mamalia ini tajam sekali mengancam agar degup jantung saya berhenti.

Mata kami bertentang. Saya beranikan jua berdiri tegak meski kaki sudah mula siap memecah rekod Usain Bolt di tengah belantara. Tanpa saya sedari, banyak mata penduduk kampung sudah terpaku ke arah kami dan ini menjadikan pilihan yang saya ada hanya satu- bereaksi selamba! Seolah berdepan dengan hanya arca anjing ukiran Leornado Da Vinci.

Langkah disusun dan daya pun terhimpun.

"Worfghh..!!" arca itu berbunyi...


(bersambung dicatatan terakhir)

No comments: