Panorama tempat ini masih tidak berubah. Hutan malar hijau terus membenarkan oksigen berpadu lebih aktif membentuk sel oksihemoglobin di dalam tubuh kami. Terasa nyaman dibalut kedinginan kaki gunung. Tempat ini sudah lama ditinggalkan namun masih kekal sempurna keadaannya seperti 4 tahun lalu saya ke sini.
"Harapnya kita semua dapat mengambil perhatian terhadap perkara yang disebut tadi..", Aiman menutup mukaddimah taklimatnya.
Kagum seketika melihat mahasiswa biokimia tahun pertama ini. Kesungguhan menjalankan tanggungjawab selaku ketua ekspedisi menawan Gunung Batu Putih, gunung ke lapan tertinggi di Malaysia memaksa saya memberi tabik 'spring' pada beliau.
"Bang Sufi, kami terkilan kerana abang tak dapat bersama kami" sebak lisannya diiringi genang air di tubir mata.
"Tenang man, meski jasad tak bersama namun hati abang kalian bawa" balas saya menutup durja.
"Tapi tetap tak sama kan. Kita dah rancang lama bersama. Tiba ini jadinya.." curhat hatinya sudah tak keruan.
"Jangan begitu, cabaran di hadapan yang perlu kita fokuskan. Ingat, penghayatan maknawiyah lebih utama ketimbang fizikal semata." cubaan mengelak menjadi mematikan bicara kami.
Beliau akur, sambil bahunya saya tepuk menandakan ekspedisi akan bermula seketika nanti. Beg digalas dan perkakas dikemas. Seorang demi seorang peserta menuruni ampangan melalui denai dipinggir teratak usang perkampungan orang asli Kuala Woh. Makin mengecil dan akhirnya langsung hilang di pandangan mata.
Sebak seketika bila kehilangan peluang bersama sahabat menawan puncak gunung yang beraltitud lebih kurang 7000 kaki dari aras laut ini. Namun saya cuba memujuk diri bahawa inilah yang terbaik qadarnya buat saya. Ligamen tidak stabil, membuat saya akur bahawa aktiviti lasak sebegini hanya mampu jadi coretan kenangan di atas kertas. Mujur kenangan lalu ketika dipuncak yang sama menjadi peneman sementelah menanti kepulangan mereka.
Ada kisah lucu yang ingin dikongsikan di entri akan datang. Saat bersama orang kita .
p/s: Selamat pengantin baru kepada pasangan Syed Mohamad Aizudin dan Nafisah Abdul Latif. Semoga mahligai yang dibina penuh kerukunan dan berkah hingga ke anak cucu.
Wednesday, December 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment