Monday, December 28, 2009
15 minit yang penuh makna
15 minit lagi munuju maghrib.
Diri tak punya banyak masa namun dipaksa jua menziarahi halaman sendiri setelah sekian hari.
Banyak yang hendak dicoret tetapi peluang tak sentiasa memberi izin.
Kesempatan terhidang membuat saraf otak mengkaji hikmah setiap detik yang berlalu.
Seketika di kaki gunung terus menghala ke Seberang Takir mengundang letih. Minggu seterusnya menghabiskan sisa memori bersama anak murid ditutupi Smart Education Induction Camp. Sengal pastinya namun kepuasan dicapai.
"..that what we call life. Full of colours. Sometimes you on the top, sometime you'll be at the bottom. Sacrifice will cure it.."
Mukadimah ringkas Dr Rashila membuat aku terpana. Bibirnya mencorak kata sihir yang sempurna menterjemah hati. Kecil molek orangnya. Tapi seluruh pelosok dunia sudah ditakluknya. Seakan membaca gelodak jiwa yang sering berkocak dek ribut kejahilan dan kealpaan.
Setuju benar pernyataannya.
Kadang sering benar soalan terpacul tidak berjawab. Kita mahukan yang itu, dapatnya yang ini. Rencana dirancang kerapnya berbeza. Jika selari nada kemahuan, bertuahlah kita. Namun andai bertentang langsung kehendak, moga Tuhan berikan kekuatan.
"Bang Sufi, apa pendapat abang kalau saya mohon melanjutkan pelajaran di luar negara. Boleh teruskan aktiviti di sana.." Amsyar mendekati meminta pencerahan.
Soalan sepertinya terlalu amat kerap diterima. Jika dahulu pastilah satu jawapan sahaja yang mampu dibalas namun kini harus difikir alternatif responnya.
Pengalaman mendewasakan. Masa membuka darjah keterbukaan akal menimbang.
Dari hal memilih sekolah beraliran sains atau agama, jurusan apa yang perlu dikuasai di universiti, kerjaya mana yang paling sesuai dengan diri, wanita mana harus mengisi suri hati, anak berapa pasukan bola hendak dihasilkan hinggalah kuburan mana akan diri dikafankan. Segalanya melibatkan RUANG dan PELUANG.
"I'm single but available.." Kojie tersenyum sinis memaklumi teman serumahnya berstatus sama semuanya.
Membenarkan lamunan tadi berfakta sahih paling tidak buat seketika.
Apa pun, yang pasti detik waktu kan tetap berlalu tidak kembali. Biarlah di bumi mana kita berpijak, di bawah langit mana kita berpayung, moga segalanya terhitung ibadah.
Mungkin yang diidam tak hadir langsung. Tapi petua bonda sering mengingatkan. Jika hendak menanam syukur, lihatlah yang lebih kurang darimu. Bagi yang beringat pasti tak lupa membawa bekal ke destinasi akhir.
Dan azan pun berkumandang..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment