Saturday, January 14, 2012
Musafir Hati
membuka lembaran semalam
penuh dosa-dosa muda
berseronok dalam kesukaan yang buta
damai yang telah lama hilang
dalam ketawa dan sendu dunia
Di atas hamparan baldu dosa
di situlah tempat berkelana
menadah duka yang kononnya suka
menjadi tanggang kepada tuhannya
di samping iblis bersorak gembira
zulhijjah melambai pergi
meninggalkan hati yang hampir mati
gelap kelam diconteng hitam
mencungap meraih simpati
wahai hati. berhijrahlah lagi
Bukan dari Makkah ke Madinah
cuma kembali ke atas fitrah
Tidak juga berhenti di Thur
cuma kembali dari terus kufur
Bukan juga menggadai nyawa
cuma bukan seronoknya dunia
merayu kembali ke fitrah insan
sisa iman meraih kasihan
meratap takut kepada tuhan
nanti sendiri di alam kuburan
tanpa bekalan tidak berteman
Hijrahlah qalbiyah
jauh pergi dari Mazmumah
berlari mendakap mahmudah
bermatlamatkan keredhaan Allah
Di alam fitnah yang penuh mehnah
menghadap alam resah gelisah
Muharam kini datang lagi
Memujuk hati agar kembali
Dari pemusafiran yang panjang
lama tersesat kadang menghilang
agar tersedar dari mimpi yang panjang
bertongkatkan harapan suatu perubahan
menopang kaki sakit berlari
Memilih sebuah destinasi infiniti
antara landasan kemurkaan Illahi
atau menjadi seorang penanti
sebuah tempat bernama Firdausi
credit to writerblock107
Saturday, December 10, 2011
Kemerdekaan, Suatu Penilaian Semula
“Mat Indera adalah seorang komunis, dan beliau tidak layak digelar pejuang kemerdekaan”. Begitu petikan akhbar arus perdana yang benar mengguris perasaan saya. Apatah lagi saya baru sahaja secara kebetulan bertemu seorang handai keturunan tokoh pejuang tersebut di Felda Tenggaroh ketika polemik mengenai beliau mula mendapat liputan meluas. Hasil perbualan ringkas dengan ahli keluarga Mat Indera, saya dapat menggambarkan sosok peribadi beliau sebagai seorang ahli agama serta warak orangnya. Sangat memegang prinsip dalam berjuang dan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi menjadikan saya agak keliru pada awalnya dalam meletakkan pendirian mengenai beberapa tokoh yang digelar komunis. Syukur, kerunsingan saya mula terungkai setelah mendengar penjelasan beberapa tokoh akademik semasa mengikuti kursus PITO ini dan penemuannya positif.
“Sejarah ditulis oleh mereka yang menang”. Ringkas tetapi cukup menjelaskan kebenaran yang selama ini saya cari. Tidak perlu untuk saya ulas kelompok pemerintah yang sudah sememangnya diketahui umum sebagai pejuang kemerdekaan sebaliknya saya ingin berkongsi pandangan dalam ruang yang terhad ini berdasarkan penelitian baru yang saya peroleh sepanjang kursus PITO ini.
Jujurnya, saya sering mencari pandangan kedua dalam menilai sumbangan kelompok kiri yang sering dinafikan penyertaannya. AWAS, SEDAR, API, KMM, serta pertubuhan berhaluan kiri yang lain pada saya turut memberi sumbangan yang signifikan cuma terbatas dari segi pengiktirafannya. Masakan tidak, Ibrahim Yaakub, Burhanudin Hilmi, Samsiah Fakeh, Rashid Maidin, Chin Peng dan deretan tokoh haluan kiri lain cukup besar dalam menyemarakkan semangat penduduk Tanah Melayu bangkit menentang penjajah tanpa mengira modus operandi yang dilaksanakan. Samada ia berbentuk subversif, pendakatan mata pena, religious approach, mahu pun melalui rundingan diplomasi, semuanya harus dinilai secara adil. Meski idealogi yang dipegang dikatakan bertentangan dengan parti pemerintah, keadilan dalam menilai sejarah adalah perkara pertama yang perlu diletakkan oleh para pengkaji serta academia kerana seandainya sentimen prejudis serta bias terus menerus dijadikan alat kepentingan, nescaya selamanya kebenaran sejarah terus disamarkan. Dalam hal ini, kita tidak perlu apologetik, seperti kata Tun Dr Mahathir.
Selanjutnya, saya kian jelas mengenai unsur penulisan sejarah yang selama ini saya terkhilaf. Dalam konteks kemerdekaan khususnya, penilaian tidak sewajarnya dikecilkan skopnya terhadap catatan teks satu versi, sebaliknya haruslah mengambilkira faktor sekitar yang barangkali sengaja dipadamkan pihak tertentu. Mengambil contoh “Mat Indera” yang dimomokkan dari awal merupakan seorang komunis, kebanyakan orang umum terlepas pandang situasi sosial dan politik pada masa dan tempat berlakunya kejadian. Dengan ketiadaan teknologi internet dan terhadnya aliran maklumat pada zaman tersebut, adalah sukar untuk menentukan letak duduk perjuangan pasukan yang disertai. Apatah lagi mereka yang ingin meluahkan aspirasi perjuangan kemerdekaan tidak memiliki alternatif lain selain turut serta bertempur di hutan. Ini adalah sebahagian faktor yang perlu diteliti sebelum kita layak menjatuhkan sebarang tanggapan.
Konklusinya, setelah membuat pembacaan dan mendengar syarahan melalui kelas yang dihadiri sepanjang PITO, saya membuat pendirian bahwa kita perlu bersikap terbuka dalam mengiktiraf sumbangan para pejuang yang telah selama ini tanpa mengira pandangan dan haluan kelompok terbabit. Bahkan sentiment prejudis dan apologetik yang selama ini dipegang seharusnya diberi penilaian semula kerana bak kata Brutus ketika membunuh Julius Caesar, “truth can be delayed but always can’t be denied”
Mohon pandangan yang lain meski isunya agak sudah 'sejuk'..
Monday, May 2, 2011
Undangan Majlis Perkahwinan (29 Mei & 4 Jun 2011)
Allah 'Azza wajalla berfirman (dalam hadits Qudsi):
"Apabila Aku menginginkan untuk menggabungkan kebaikan dunia dan akhirat bagi seorang muslim maka Aku jadikan hatinya khusyuk dan lidahnya banyak berzikir. Tubuhnya sabar dalam menghadapi penderitaan dan Aku jodohkan dia dengan seorang isteri mukminah yang menyenangkannya bila ia memandangnya, dapat menjaga kehormatan dirinya, dan memelihara harta suaminya bila suaminya sedang tidak bersamanya"
(HR. Ath-Thahawi)
Amzar Hafifi & Siti Ruhayu
ingin mengundang saudara saudari ke majlis kesyukuran perkahwinan kami
seperti butiran dalam pautan yang disediakan.
"sampai masa tibanya waktu, redup hati kamu berdua,
bila dua jasad bersatu, hidup mati jadi bersama"
(Hikayat Merong Mahawangsa)
http://weddingwire.com/AmzarAyu
Mohon diperpanjangkan undangan ini kepada seluruh yang tidak tersenarai. Dijemput hadir bagi mana-mana tarikh yang berkelapangan.
Wednesday, March 23, 2011
Bona Fide
"Dulu sir dapat berapa A ya?" bekas anak didik saya bertanya
"I only got few.."
Kenangan 8 tahun lalu saya imbau ketika menduduki SPM pada 2003.
Masih segar saat kertas terakhir dihantar ke tangan penjaga peperiksaan.
Ketika itu rakan-rakan setingkatan masing-masing membawa jam loceng tanda 'merdeka'.
Tepat jam 5.30 petang Jumaat kertas terakhir, maka bergemalah dewan besar SEMESTA dengan deringan puluhan jam loceng seakan mengejutkan orang yang bangun sahur.
"Saya dah biasa kena dah..5 tahun jaga sekolah sains..masak sangat" ketua pengawas peperiksaan mengakhiri wasiatnya menggunakan mikrofon.
Kami mengambil peluang bergambar dengan barisan pengawas peperiksaan yang juga guru dari sekolah sekitar Raub.
Tak ketinggalan ada dikalangan pengawas tersebut yang turut mengambil nombor telefon pelajar perempuan, tak diketahui apa motifnya. Hingga kini menjadi misteri yang masih belum mampu saya rungkaikan.
Yang pasti, memori itu telah berlalu meninggalkan seribu satu kenangan pahit manis yang tak mampu dicari ganti.
Aktiviti membasuh baju, diminta ambilkan nasi dari dema (dewan makan), jadi posmen tidak berdaftar menyampaikan bungkusan berdaftar pasangan kekasih, meniup mentol yang hidup, bernasyid di depan kamar senior jam 3 pagi, menjadi tukang karut hikayat misteri budak hitam yang membasuh baju di malam hari, berkaki itik menuju kelas ketika prep malam serta semua yang lainnya akan saya kunci rapi dalam peti sejarah hidup saya.
Dan hari ini, pelajar SPM memperoleh keputusan yang dinanti sekian hari. Bagi yang berjaya tahniah diucapkan. Ia harus disikapi dengan menjunjung nilai kesyukuran.
Dan yang kurang berjaya masih panjang laluan untuk diusahakan. Juga sebagai ruang untuk menoleh segenap kesilapan yang perlu disucikan. Apa pun, takdir telah tersurat dan akal yang sihat perlu meneliti segenap hikmah yang tersirat.
"dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 2:216
Bona Fide!
Sunday, March 13, 2011
Kisah seorang lelaki..
Pengiktibaran dari catatan kehidupan insan marhaen..
“apa yang ingin saya kongsi bersama pembaca adalah pengalaman saya sebagai suami dan ayah kepada tiga orang anak yang berumur 2, 5 dan 6 tahun, untuk rumah tangga yang baru berusia lapan tahun ini. Izinkan saya dipanggil sebagai Iman dan isteri saya sebagai Mazlin sahaja.
“Saya adalah seorang pegawai di syarikat swasta, lulusan dari luar negara. Perkahwinan kami pada dasarnya diatur oleh keluarga, kerana mengikut kehendak tua orang yang kononnya suka bermenantukan orang miskin. Alasan orang tua saya, isteri yang berasal dari keluarga miskin dan kurang mampu lebih taat, patuh dan setia kepada suami, berbanding dengan mereka yang datang daripada keluarga yang ada duit sikit.
“Sebelum bertunang, kami telah diberikan peluang untuk berkawan selama tiga bulan dengan tujuan untuk berkenalan lebih rapat lagi supaya tak kekok bila berkahwin nanti. Akhirnya tak sampai setahun selepas itu kami bernikah.
“Namun saya akui isteri saya seorang yang cantik dan perawakan lemah lembut. Seperti saya, dia mengaku tidak pernah ada teman yang serius sebelum kami berkenalan dan seterusnya bertunang. Secara ikhlas saya menerimanya dan menyayanginya seperti menatang minyak yang penuh. Walaupun saya menghadapi pelbagai ujian dan kerenah rumah tangga, namun kami boleh dianggap sebagai keluarga yang sungguh bahagia.
“Kehadiran tiga orang cahaya mata telah menceriakan lagi suasana dan keharmonian rumah tangga kami. Bagaimanapun memandangkan keadaan dan keperluan keluarga kami yang semakin meningkat, saya telah mengizinkan isteri saya bertugas secara syif di kilang. Saya cuma berharap isteri saya bekerja untuk empat tahun sahaja untuk membantu selesaikan hutang kereta dan kad kredit yang saya hadapi dan semua atas permintaannya juga yang bersimpati dengan masalah yang saya hadapi ketika itu.
“Apabila saya mengambil keputusan membenarkan Mazlin bekerja tentulah saya terpaksa dan sudah bersedia secara mental dan fizikal bahawa hidup saya tidaklah seselesa suami-suami lain yang isterinya menjadi isteri sepenuh masa, di mana makan minum mereka dijaga tanpa pergi ke dapur mengambil nasi sendiri kerana semuanya disediakan di atas meja.
“Saya juga faham saya terpaksa berkorban dari segi kehidupan yang sudah pastinya tidak akan menentu, ialah, kita bekerja waktu siang, sementara isteri kita terpaksa bekerja ikut syif, ada pagi ada petang dan ada juga malam. Dan saya sudah bersedia dengan keadaan ini semua. Saya juga bersedia berkorban waktu rehat Sabtu dan Ahad kerana terpaksa menjaga anak bila ditakdirkan isteri bekerja.
“Saya tak kisah semua kerja itu walaupun mengasuh anak kecil dan berjaga malam semasa ibu mereka kerja, termasuklah buat susu dan mendodoikan mereka. Pagi esoknya saya juga sudah bersedia menghantar anak-anak ke rumah pengasuh untuk menjaga mereka sementara ibu mereka pulang. Apabila pulang kerja, saya akan menjaga mereka. Kadang-kadang saya membuat kerja tambahan dan pulang lewat malam untuk mendapatkan wang tambahan untuk keluarga.
“Hasrat saya paling utama ketika itu adalah untuk segera menyelesaikan beban hutang secepat mungkin. Apabila hutang sudah diselesaikan saya akan meminta dia supaya berhenti kerja dan seterusnya kami dapat hidup dalam keadaan lebih selesa.
“Malang sekali, semenjak isteri saya Mazlin bekerja dan membantu keperluan untuk rumah, sikapnya semakin berubah secara beransur-ansur. Dia sudah mula pandai menengking saya, suka mengarah saya apa yang patut saya lakukan dalam rumah. Dia juga menjadi lebih kasar dengan anak-anak dan membantah setiap nasihat saya sementara semua pandangan saya untuk kebaikan bersama di dalam rumah ditolaknya ke tepi.
“Apa yang amat mengecewakan saya nasihat saya langsung tidak diambil kira, bukan itu sahaja dia juga langsung tidak mahu mendengar cakap saya, kalau mendengar pun daripada wajahnya kita dapat melihat dia bersikap acuh tak acuh sahaja.
“Apabila saya menegurnya dengan baik supaya dia ambil kira nasihat saya dia boleh jawab cakap saya balik dengan cara yang paling menyakitkan hati, katanya: “Abang kalau tak sukakan saya, abang kahwin le dengan orang lain!”
Mendidih darah saya mendengarnya, kerana dia seolah-olah mencabar kesabaran saya. Pernah sekali saya menegurnya supaya dia dapat membuat kerja rumah dengan lebih pantas, Mazlin boleh balas cakap saya katanya: “Maz tak pandai buat kerja cepat-cepat. Maz memang lembap! Kalau abang nak cepat-cepat, abang kahwin le dengan orang lain.
“Kadang-kadang hati kecil saya terhiris dengan bahasanya yang kasar itu. Adakah kerana sudah dapat gaji bersih RM500 sebulan (selepas ditolak upah pengasuh), Mazlin sudah berani mencabar dan bersikap keras kepala terhadap saya, suaminya.
“Tambah menyakitkan hati saya dia boleh kata kalau dia tak kerja hidup saya akan menjadi lebih susah lagi. Macamlah gajinya banyak dan pengorbanannya itu begitu penting sekali; “Elehh! Kalau Maz tak kerja, tentu abang tak boleh tanggung keluarga kita.” Sikapnya yang keras kepala semakin menjadi-jadi setelah dia bekerja dan mendakwa gaji yang diperolehnya itu amat banyak. Pendeknya dia berubah betul!
“Dalam pada itu kata-katanya yang mencabar saya amat menyakitkan telinga yang mendengar; “Abang kalau nak cari isteri baru, carilah kalau sudah tak puas hati dengan Maz.” Pada pandangan saya dia semakin hari semakin kurang ajar dan sifatnya ini sudah bersarang dan menjadi tabiat yang susah hendak dikikis. Saya selalu makan hati dengan sikapnya yang suka buat “cincai” ketika melayan saya sebagai suaminya sendiri.
“Bukanlah maksud saya masuk bakul angkat sendiri. Saya tidak pernah keluar rumah hang around dengan kawan-kawan bujang. Jauh sekali minum arak, main judi, main betina, pukul isteri atau pulang lewat malam. Saya lebih suka berada di rumah bersama anak-anak dan isteri bila ada ketikanya kami dapat berkumpul.
“Hidup saya hanya sekitar isteri dan anak-anak. Saya terlalu sibuk dengan mereka. Saya telah membuat yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. Saya layan isteri saya seperti puteri raja. Kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi bahkan bertambah setiap hari. Bahkan saya kerap membantu Mazlin memasak, mengemas rumah, mencuci baju serta pinggan mangkuk dan melipat pakaian yang bertimbun-timbun itu.
“Malangnya di sebalik semua pengorbanan, kesabaran dan layanan saya itu, saya dianggap oleh Mazlin sebagai sama dengan lelaki lain. “Semua lelaki sama aje. Tak boleh dipercayai!” Mazlin seolah-olah mencabar saya untuk mencari isteri baru dan bertukar menjadi lelaki tidak bertanggungjawab. Ungkapannya yang berulang kali suruh saya `kahwin lain’ dan `semua lelaki sama’ seolah-olah mendoakan saya. Memang saya tiada niat untuk kahwin lagi kerana masa saya untuk isteri dan anak-anak terlalu terhad.
“Tapi jika Mazlin terus “cincai” melayan saya, insya-Allah, saya akan kahwin lagi dengan wanita yang tahu bersyukur dan berterima kasih untuk mengisi kekosongan hati saya selama ini. Saya sedar kesilapan saya memanjakan dia dan terlalu rapat menyebabkan Mazlin hilang rasa hormat pada saya yang bersifat fleksibel dan berfikiran terbuka ini.
“Walaupun Mazlin selalu buat salah dan tidak pernah minta maaf, tapi saya yang akan memujuknya terlebih dahulu. Hasilnya, saya dilayan lebih kurang mengikut mood dan perasaan hatinya sahaja. Hati saya pernah tersentuh dan sayu apabila ada sepupu perempuan yang menumpang sementara di rumah kami, melayan saya dengan menghantar segelas air oren tanpa diminta apabila saya baru pulang dari kerja.
“Dalam hati saya terdetak berkata: `Selama aku hidup dengan isteri aku, tak pernah pun Mazlin hidangkan aku dengan segelas air masa aku pulang dari kerja’. Sebagai suami, bukanlan saya berharap dilayan seperti raja, cukup dengan segelas air, satu kucupan dan senyuman ia sudah cukup membahagiakan suami yang penat.
“Tapi malangnya Mazlin bukannya dia yang sepatutnya melayan saya, sebaliknya saya pula yang terpaksa menatang dia macam minyak yang penuh. Kadang-kadang saya terfikir apakah kerana sudah bekerja, kerana sebelum berkahwin dahulu Mazlin memang tak bekerja, maka dia jadi satu macam punya ego, mungkin dia merasakan gajinya setiap bulan itu sudah cukup besar hingga boleh menampung kami sekeluarga.
“Pernah saya terfikir nasihat ibu bapa saya salah, konon nak cari orang kurang berada dia akan mentaati suami, malangnya saya yang bergaji sekali ganda gaji dia pula yang terpaksa tunduk dan menyayangi dia. Dia juga pernah mendakwa kalau tidak kerana duit gaji dia, hidup saya tak akan bahagia, saya akan susah. Inilah pandangan Mazlin.
“Saya juga kecewa bila ada isteri hentam keromo dengan perkara asas kebahagiaan keluarga. Ada isteri pandang suami macam penyamun. Ada isteri sanggup bersolek, berbedak dan berwangian kalau nak keluar pergi pasar tani. Tapi masa nak bersama dengan suami, jangankan nak mandi, kadang-kadang tu gosok gigi pun malas. Memang patut ada suami pasang lagi satu bila dapat layanan “cincai” isteri masing-masing.
“Bagaimanapun saya masih setia dengan Mazlin dan berdoa agar dia berubah sikap. Walaupun saya makan hati setiap hari, saya masih sabar selagi kasih sayang saya terhadap isteri dan anak-anak masih mekar. Namun hari esok, siapa yang tahu. Sabar ada hadnya. Jika terpaksa, doa Mazlin mungkin akan termakbul juga.” Demikian cerita Iman.
disalin dan tampal dari sini
p/s: Simpati dengan ujian yang melanda..Moga keduanya diberikan penyelesaian terbaik..
Saya sertakan ini sebagai peluasan wilayah fikir serta ruang bertukar pendapat..
Tuesday, March 8, 2011
Ketawa Penawar Duka
Cerita 1
Suami : Kenapa Sayang menangis?
Isteri: Saya telah baca sebuah buku. Sad
endinglah bang..
Suami : Buku apa?
Isteri: Buku bank abanglah..
=====================================
Cerita 2
Ada la seorang lelaki datang ke sebuah rumah
untuk meminta derma. Derma untuk rumah
orang-orang tua. Seorang budak pun membuka pintu.
Budak : Derma ape bang?
Lelaki : Derma untuk rumah orang-orang tua. Adik
ada apa-apa untuk didermakan?
Budak : Nanti jap saya ambilkan atuk saya.
Lelaki : ?????
=====================================
Cerita 3
3 org menaiki motor dan ditahan polis trafik.
Namun pemandu motor tersebut tidak berhenti.
Katanya, 'Tak Muat Dah Tok, Kami dah bertiga!!!
======================================
Cerita 4
Seorang Tok Batin baru membeli motorsikal Honda
dan kebetulan pada jalan pulang terserempak
dengan kawanya yang ingin menumpang, lalu
ditumpangkan kawanya itu.
Dalam perjalanan kawannya merasakan Tok Batin
hanya mengunakan gear 1 sahaja lalu bertanyalah
kawanya itu,
Kawan Tok Batin : Kenapak kamu hanya pakai gear 1
sahaja.
Tok Batin : Kalau rosak 1 gear ada 2 lagi gear.
Kawan Tok Batin : ????????
========================================
Cerita 5
Seorang posmen yang datang menghantar surat ..
Posmen: "Assalamualaikum"
En. Sameon: "Walaikumsalam"
Posmen: "Ni rumah encik Sameon ye?
En. Sameon: "Ya saya"
Posmen: "Poning kepala saya mencari alamat rumah
encik ni"
En. Sameon: "Buat susah aje encik nie! Apasal tak
pos aje?!!"
Posmen: "Betul jugak yer!???"
========================================
Cerita 6
Orang Asli Dan Polis
Orang asli : "Selamat pagi tuan"
Polis : "Selamat pagi"
Polis : "Apa hal?"
Orang asli : "Saya nak buat repot tuan"
Polis : "Fasal apa tu?"
Orang asli : "Kawan saya di baham harimau"
Polis : "Pukul berapa?"
Orang asli : "Dia tak pukul, terkam ..."
Polis :"Habis?..."
Orang asli : "Tak habis, tinggal kepala.."
=========================================
Cerita 7
Seorang lelaki pergi ke klinik mata. Setelah
matanya diperiksa, dia bertanya:
"Doktor, lepas pakai cermin mata nanti, boleh ke
saya membaca macam orang lain?"
"Dah tentu" jawab doktor.
"Oh, gembiranya. Dah lama saya buta huruf,
akhirnya boleh juga saya membaca," kata lelaki
itu dengan riang.
=========================================
Cerita 8
Sebaik sahaja mengambil tempat duduk di ruang
menunggu sebuah klinik, Shan terpandang Amin
sedang menangis teresak-esak. Dia segera
mendekati Amin.
Shan : Kenapa menangis?
Amin : Saya datang untuk ujian darah.
Shan : Awak takut ke?
Amin : Bukan itu sebabnya. Semasa ujian darah
dijalankan, mereka telah terpotong jari saya.
Mendengarkan penjelasan Amin, Shan pula menangis.
Amin : Eh, kenapa pula awak menangis?
Shan : Saya datang untuk ujian air kencing...
=========================================
Cerita 9
Seorang atok membawa cucunya ke pejabat pos untuk
menghantar surat.
Cucunya bertanya bila melihat atoknya memasukkan
surat ke dalam tong berwarna merah.
"Atok buat apa tu?".
"Atok bagi surat kat kawan atok, cu!" jawab
atoknya.
Cucunya bertanya lagi, "Apa kurang bijak sangat kawan
atok duduk dalam tong merah tu?"
========================================
Cerita 10
Seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah
hospital untuk menyiasat punca kematian tiga
lelaki sekaligus. Selepas memeriksa mayat-mayat
itu, dia bertanya kepada penjaga bilik mayat
berkenaan.
Polis : "Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?"
Penjaga : "Lelaki pertama sedang bersanding,
apabila tiba2 diserang strok. Lelaki kedua pula
khabarnya menang loteri dan mati serangan sakit
jantung manakala yg ketiga disambar petir."
Polis : "Hah! Kenapa disambar petir pun
tersenyum?"
Penjaga : "Masa tu dia ingat orang sedang ambil
gambarnya!"
Seni insan pada hiburan..
Monday, February 28, 2011
Dwi-Wajah
Saat kau jaga dari mimpi yang pulang pagi..
Maka bermulalah ujian maha berat lagi maha bererti
Buat mizan akalmu untuk jahiliah bertamu
Buat jiwamu mendewasa di lautan semu
Buat pakaian imanmu menutup malu
Yang tertutup di awal kian terbuka
Yang namanya jilbab tak lagi menghijab
Lalu..
Teringat daku pesan pendeta
Tika malam mencari mimpi
Dan siang mencari erti
Ramai kecundang dianggap pemenang
Terbias sawang di cerminan usang
Kerna keliru yang mana Satu
Laluan berliku atau hamparan baldu
Justeru
Dimana pelita bersinar cahya
Di simpang fujuraha menggelapkan taqwa
Di puncak A’raf kah?
Di lantai sirah kah?
Atau
Bersama Jabariah kau belasah redah
Di alam fitnah yang penuh mehnah
Tak kenal lelah tak kenal sudah
Menanti yang berkelana rebah menyerah
Yang bekal ilmunya sekelumit zarrah
Ini bicara dari mereka
Yang sudah separuh usia berkelana
Mencari Raja Mergastua di tengah belantara gila
Mengutip sisa pedoman deria keenam
Tidak punya bayang gelapnya malam
Meski kau suluh hingga berpeluh
Nescaya gelita sahaja mampu kau sentuh
Dan
Selamat datang daku ucapkan
Ke alam resah penuh gelisah
Dirimu kan sepi dicelah riuh rendah
Bagai sendu ratap Rabiah Adawyah
Atas sejadah pasrah mendesah
Alangkah indah menjadi tanah
Inilah alam dwi-wajah….
Specially dedicated for my x-Septechs students
Puchong Perdana